HomeSukanSUKMA XXII: Gimrama Sabah sasar podium, mahu pamer persembahan terbaik

SUKMA XXII: Gimrama Sabah sasar podium, mahu pamer persembahan terbaik

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Pasukan Gimnastik Berirama (Gimrama) Sabah bertekad untuk memberikan persembahan terbaik dalam setiap rutin yang dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Pengurus pasukan, Elena Sidekly berkata, pasukan yang disertai seramai 10 atlet dan dua jurulatih itu turut menyasarkan untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik.

Beliau berkata, meskipun sasaran utama adalah untuk meraih pingat emas namun kejayaan menempatkan diri di podium turut sudah dianggap sebagai pencapaian yang membanggakan.

“Semua orang inginkan emas, tetapi kami bersyukur jika diberi kesempatan untuk berada dalam kelompok tiga terbaik. Sasaran kami adalah pingat gangsa,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini.

Menurut Elena, fokus utama pasukan ketika ini adalah memastikan semua atlet dapat mempamerkan persembahan terbaik dan melaksanakan setiap rutin dengan kemas serta tanpa kesilapan.

Beliau berkata, persiapan pasukan telah dilakukan secara intensif selama kira-kira lapan bulan bagi memastikan atlet berada pada tahap terbaik sebelum menghadapi saingan SUKMA.

“Persiapan latihan telah dibuat selama lapan bulan dan kami juga menghadiri beberapa kejohanan di luar bagi mengukur tahap pencapaian atlet.

“Pengalaman daripada kejohanan-kejohanan itu penting untuk menilai prestasi atlet serta mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi SUKMA,” katanya.

Pasukan gimrama Sabah turut dibimbing jurulatih Zovi Tie Yu Pei dan Christylyn Leikson.

Elena berkata, prestasi semasa atlet turut menunjukkan perkembangan positif selepas pasukan berjaya meraih pingat perak dalam acara bola dan gangsa dalam acara riben pada Kejohanan Gimnastik Berirama Kebangsaan yang berlangsung Mei lalu.

Katanya, atlet dalam acara individu juga menunjukkan pencapaian yang amat memberangsangkan, sekali gus memberikan keyakinan kepada pasukan menjelang saingan di Selangor.

“Kami berharap atlet-atlet ini dapat mempamerkan persembahan terbaik mereka dan melakukan rutin dengan ‘clean’,” katanya.

Dalam pada itu, pasukan Sabah mahu memperbaiki pencapaian pada SUKMA Sarawak dua tahun lalu apabila sekadar menduduki tempat keempat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

SUKMA XXII : Sabah teruskan cabaran dalam lima acara sukan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular