SHAH ALAM: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) terus menjadi platform penting dalam memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan atlet dari seluruh negara.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, nilai berkenaan jelas dapat dilihat menerusi kemeriahan yang ditunjukkan peserta dan orang ramai ketika menghadiri majlis perasmian SUKMA ke-22 di Selangor.
Menurutnya, meskipun majlis perasmian dianjurkan dalam skala yang sederhana namun suasana tetap berlangsung dengan meriah.
Katanya, semangat yang ditunjukkan para peserta sepanjang majlis berkenaan membuktikan keunikan SUKMA sebagai medan menyatukan atlet daripada pelbagai negeri masih kukuh.

“Walaupun skala dia sederhana tetapi tetap meriah dan kita dapat melihat daripada ‘body language’ daripada semua peserta dan juga semua yang datang menyaksikan begitu meriah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media selepas menghadiri majlis perasmian SUKMA ke-22 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini malam ini.
Hadir sama pada majlis perasmian itu Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Zainuddin Aman dan Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Dato’ Sri Anil Sandhu.
Nizam berkata, semangat kesukanan dan silaturahim yang terjalin menerusi temasya berkenaan perlu terus dipelihara bagi memastikan SUKMA kekal relevan sebagai platform perpaduan dalam kalangan generasi muda.
“Semangat kesukanan dan juga silaturahim itu tetap terpelihara dan keunikan Sukan Malaysia ini tetap berterusan sampai bila-bila masa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Selangor atas penganjuran temasya berkenaan.
Dalam pada itu, Nizam berharap penyertaan kontinjen Sabah pada edisi kali ini dapat diteruskan dengan semangat tinggi dan komitmen penuh daripada setiap atlet.
Beliau berkata, atlet Sabah perlu memberikan fokus sepenuhnya terhadap pertandingan bagi membolehkan sasaran yang ditetapkan sejak peringkat persiapan direalisasikan.
“Harapan saya kepada kontinjen Sabah supaya mereka dapat bertanding dengan penuh komitmen, fokus dan kita dapat mencapai sasaran sepertimana yang kita target sejak daripada persiapan kita,” katanya.
Beliau berkata, tempoh pertandingan yang berlangsung sehingga 24 Ogos perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh atlet Sabah untuk memberikan aksi terbaik dalam acara masing-masing.
Nizam yakin dengan persiapan yang telah dilakukan sebelum temasya, kontinjen Sabah mampu memberikan saingan terbaik dan membawa pulang kejayaan untuk negeri. – SABAH MEDIA



