RANAU: Sebanyak tujuh buah Sekolah Agama Negeri (SAN) dan empat buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) menyertai Majlis Ihtifal Ilmi Peringkat Daerah berlangsung di SAN Pekan Ranau di sini, baru-baru ini.
Perasmian majlis secara bersemuka itu, telah disempurnakan Setiausaha Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau, Attin Naisin yang mewakili Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II, merangkap Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Dalam majlis itu, Attin menyeru para ibu bapa atau penjaga murid-murid yang sedang menuntut di semua SAN dan SAR supaya mengambil peranan dan perhatian serius terhadap pembelajaran anak-anak dalam aspek agama dan bidang akademik sebagai panduan kehidupan masa depan mereka.
“Mendidik anak-anak dalam aspek agama adalah paling penting sebagai benteng mereka daripada terlibat dalam aktiviti seperti gejala sosial yang merosakkan masa depan,” jelas Attin.
Sementara itu, beliau turut berharap agar SAN dan SAR dapat memilih peserta yang terbaik bakal mewakili daerah Ranau ke Ihftal Ilmi Peringkat Negeri Sabah tidak lama lagi.
Sempena majlis itu, sebanyak empat acara yang dipertandingkan melibatkan 110 peserta termasuklah Tilawah Al-Quran, Hafazan Al-Quran, Maharah Al-Kitabah, Wal-Qiraah, Bercerita Sira Nabi dan tulisan Khat.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Guru Besar SAN Pekan Ranau merangkap Pengerusi Jawatankuasa penganjur, Ustazah Jumiti Rasim, rombongan dari Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau, ibu bapa, guru-guru dan murid.