KOTA KINABALU: Seramai 100 pelajar berumur 13 hingga 17 tahun menyertai program bersempena National Science Challenge (NSC) 2022 peringkat negeri Sabah baru-baru ini.
Program anjuran Akademi Sains Negara (ASM) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah serta Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung secara fizikal bertempat di U-Science, Perpustakaan UMS pada 16 dan 17 Julai 2022.
Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS, Ts. Dr. Aslina Baharum berkata, lima pasukan daripada empat buah sekolah telah terpilih untuk meneruskan cabaran di peringkat negeri.
“Para pelajar diadili oleh tiga panel juri melalui persembahan video dan pembentangan slaid yang bertemakan ‘Kelestarian Kesihatan Planet untuk Generasi Masa Hadapan’.
“NSC mempunyai empat peringkat; peringkat awal, peringkat negeri, peringkat separuh akhir dan peringkat akhir.
Tambah Aslina, NSC telah dianjurkan selama 39 tahun iaitu sejak tahun 1983 yang dikenali sebagai Kuiz Sains Nasional dan pada tahun 2006 ia dijenamakan semula sebagai National Science Challenge dan setiap tahun ada perbezaan dari segi tema yang dipilih mengikut keperluan isu semasa.
“Tema NSC pada tahun ini adalah ‘Pembangunan Lestari untuk Kesihatan Planet berteraskan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).
“Program ini merupakan satu pertandingan sains yang bertujuan untuk meningkatkan minat dan kesedaran para pelajar untuk mendalami bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selain menyemai minat mereka untuk memilih kerjaya dalam bidang-bidang kritikal ini,” katanya.
Aslina yang juga dilantik sebagai ahli Young Scientists Network, Academy Science Malaysia (YSN-ASM) Sabah Chapter berkata, program ini juga dapat meningkatkan kesedaran dan minat terhadap subjek STEM dalam kalangan masyarakat serta pelajar sekolah, serta membentuk generasi yang berinovasi dan berdaya saing sebagai pemacu negara di masa hadapan.
“Pertandingan ini diharapkan dapat menimbulkan minat yang mendalam terhadap subjek sains serta dapat menarik minat pelajar dan masyarakat untuk mendalami sains,” katanya ketika ditemui media.
Majlis perasmian dan penutupan program NSC2022 telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap KSTI, Zainudin Aman.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pemandu National Science Challenge, Profesor Dr Noorsaadah Abd Rahman; Pengerusi Young Scientists Network-ASM, Profesor Madya Dr. Chai Lay Ching; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi UMS), Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Pengerusi ASM Sabah Chapter, Dr Rahimatsah Amat.