KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mahu lebih ramai anak muda menyertai industri minyak dan gas sejajar usaha kerajaan untuk mengembangkan industri itu di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri mahu TAS Institute of Oil & Gas yang kini dalam tahun ke-14 penubuhannya memainkan peranan untuk terus melahirkan tenaga kerja teknikal yang terlatih dan cekap untuk bekerja dalam industri itu khususnya di Sabah.
“Pada tahun lalu, Sabah mencatatkan satu kejayaan bersejarah dengan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh negeri kita yang dikenali sebagai, SMJ Sdn Bhd, hasil daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan PETRONAS.
“Kami amat menghargai kerjasama PETRONAS melalui CCA, menandakan langkah pertama dalam memastikan rakyat Sabah akan menikmati hasil daripada sumbernya.
Ini bermakna penglibatan yang lebih besar bagi Sabah dalam perniagaan petroleum huluan, serta dalam perniagaan minyak dan gas secara pertengahan dan hiliran serta bersama PETRONAS meningkatkan penyertaan negeri Sabah dalam industri minyak dan gas serta nilai rantaiannya.
“Saya berkongsi keinginan untuk melihat sumber minyak, gas dan tenaga Sabah memberi manfaat kepada pembangunan negeri ini. Bersama rakyat, Sabah telah memperjuangkan penyelesaian yang saksama untuk mendapat manfaat daripada sumber minyak dan gas,” katanya ketika merasmikan Majlis TAS Institute of Oil & Gas 10th Graduation di Auditorium TAS Institute di Taman Perindustrian Kota Kinabalun(KKIP) di sini, pada Sabtu.
Seramai 90 pelajar menerima Diploma Lanjutan BTEC atau Business and Technology
Education Council dalam Operasi Kejuruteraan sempena graduasi itu, pada Sabtu.
Sambil melahirkan rasa gembira kerana TAS adalah salah satu institusi yang memainkan peranan penting dalam membantu membentuk belia kita dalam industri minyak dan gas.
Hajiji mahu TAS akan memenuhi sumber berkemahiran yang diperlukan dalam industri minyak dan gas.
“Saya berharap TAS akan terus melahirkan tenaga kerja teknikal yang terlatih dan cekap untuk bekerja dalam industri minyak dan gas, khususnya di negeri ini. Tumpuan mereka dalam membina dan membangunkan modal insan tempatan wajar dipuji dan harus dicontohi oleh institusi latihan lain.
“Tahniah kepada TAS dan SEQU-TAS kerana bukan sahaja menubuh dan mengendalikan pusat latihan untuk melatih rakyat tempatan Sabah tetapi juga pusat latihan bersepadu untuk melengkapkan keperluan modal insan dan latihan dalam industri minyak dan gas,” katanya.
Seramai 1,700 graduan anak-anak Sabah telah Berjaya dilatih dan memperolehi Diploma Lanjutan BTEC dalam Operasi Kejuruteraan oleh TAS.
Hajiji turut melahirkan rasa gembira apabila tahu ada pelatih dalam kalangan.kumpulan B40 dan mereka ini telah diambil bekerja oleh syarikat minyak negara selain di luar negara.
“Ramai anak-anak dari kumpulan B40 yang kini bekerja dengan gaji lumayan, bukan sahaja berjaya meningkatkan taraf hidup keluarga malah berupaya membiayai pendidikan adik beradik mereka. Saya juga diberitahu bahawa mereka yang telah tamat pengajian memperoleh pendapatan antara RM8,000 – RM25,000 sebulan selepas 5 hingga 10 tahun bekerja,” katanya.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada semua graduan atas usaha dan kesabaran dalam mengharungi dunia pembelajaran yang akhirnya membuahkan hasil.
“Bagi memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi, kita memerlukan modal insan yang memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran, termasuk dalam bidang minyak serta gas.
“Sejajar dengan tumpuan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS- BN) terhadap sektor utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memacu pemulihan pertumbuhan ekonomi, penekanan kami juga adalah untuk mendorong teras kedua hala tuju ini iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat dalam Belanjawan 2022,” katanya.
Turut hadir ialah Penaung TAS Institute Of Oil & Gas, Tun Datuk Seri Ahmadshah Abdullah dan Pengerusi TAS Institute Of Oil & Gas dan Sequ-Tas Offshore Safety Sdn Bhd, Datuk Ismail Abdullah.