HomeSukanSUKMA XX : Sabah akhiri cabaran dengan dua perak dari boling padang...

SUKMA XX : Sabah akhiri cabaran dengan dua perak dari boling padang dan tinju

Read Time:2 Minute, 0 Second

KUALA LUMPUR: Sabah mengakhiri cabaran pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 dengan meraih dua pingat perak untuk mencatat pencapaian keseluruhan dengan 30 pingat emas, 29 perak dan 39 gangsa yang berakhir hari ini.

Dua pingat perak terakhir Sabah itu diraih trio boling padang wanita dan atlet tinju, Erron Liaw Kok Sheng.

Trio Sabah yang dibarisi Adilah Justine, Nurnajmi Jannah Jali @ Jalit dan Nur Zarifah Wajihah Zaidi tewas 12-15 kepada pasukan Perak (Aleena Ahmad Nawawi, Nor Azzahara Abd Razak dan Suriani Rosli) pada peringkat akhir triples yang juga acara terakhir boling padang hari ini.

Sabah juga berjaya ke separuh akhir acara fours lelaki dan pairs wanita tetapi kedua-duanya tumpas dan gagal meraih sebarang pingat apabila turut tewas di penentuan pingat gangsa.

Keseluruhannya, skuad boling Sabah menyumbangkan satu perak dan satu gangsa. Pingat gangsa dimenangi trio lelaki yang dianggotai Asmirul Arispadillah, Abdul Manaf Saujor dan Muhammad Afif Aiman Mohd Affendy.

Presiden Persatuan Boling Padang Sabah, Shuib Hashim berkata, walaupun kecewa gagal sumbang emas tetapi pencapaian kali ini lebih baik berbanding hanya dua gangsa pada SUKMA sebelum ini.

“Kita akan terus berusaha mempertingkatkan prestasi dan saya percaya skuad kita akan kembali dengan lebih kuat pada SUKMA akan datang.

“Tambahan pula, kita sudah ada ramai atlet berpotensi termasuk tujuh dari skuad SUKMA kali ini yang masih layak bertanding pada SUKMA akan datang,” katanya.

Sambil itu, Erron adalah harapan emas terakhir Sabah hari ini tetapi beliau juga hanya mampu naik podium untuk pingat perak apabila tumpas 0-5 ditangan Mohamad Asuad Mohd Halim pada peringkat akhir kategori light middle (67-71kg).

Keseluruhannya, skuad tinju Sabah menyumbangkan satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Pingat emas dirangkul Joel Evekly Jain dalam kategori bantam (51-54kg) manakala gangsa diraih Mohammad Fairul Yee Abdullah (feather 54-57kg) dan Steve Yosores (light fly 46-48kg).

Sabah juga mempunyai beberapa atlet bersaing di peringkat akhir acara cross country berbasikal lelaki dan wanita.Mohd Faizikry Jumah dan Ainie Markus jadi sandaran emas tetapi kedua-duanya gagal menempah kedudukan podium apabila hanya menduduki tempat keempat.

Atlet lelaki lain dalam senarai ke final hari ini ialah Chin Hou Zhun, Fitri Jumah dan Kens Sone Oliver manakala atlet wanita lain ialah Belty Sanny dan Nurwahidah Ozri.

Tanpa sebarang pingat hari ini, skuad berbasikal Sabah kekal dengan sumbangan satu pingat perak dan satu gangsa, kedua-duanya dimenangi Lim Chun Kiat dalam acara 4km kejar mengejar lelaki (pingat perak) dan omnium (gangsa).

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Ram Singh dilantik sebagai Presiden Persatuan Memanah Negeri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular