Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU : Sabah FC hari ini mengumumkan pemain import baharu dari Brazil, Jailton Paraiba bagi memantapkan lagi aksi berdepan saingan Liga Malaysia musim ini.
Pengumuman pemain baharu ini diumumkan skuad Badak menerusi satu hantaran di laman sosial rasmi Sabah FC hari ini.
Pemain berusia 32 tahun itu mampu bermain dibahagian sayap selain boleh bermain dibahagian serangan.
Sebelum berpindah ke Sabah FC, Jailton juga pernah bermain di Liga Super China antaranya Shanghai Shenxin; Yanbian Changbaishan dan Dailan Transcendence.
Dengan kehadiran Jailton ke dalam pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu, Sabah FC kini telah mempunyai enam pemain import bagi memperkuatkan pasukan The Rhinos.
Sebelum ini, Sabah FC telah mengumumkan tiga pemain import baharu masing-masing dari Brazil; Portugal dan Nigeria.
Antara yang diumumkan ialah bekas pemain Gremio Esportivo Brasil, Gabriel Peres; bekas pemain kelab IBV di liga Iceland Telmo Castanheira dan bekas pemain import Kelantan yang berasal dari Nigeria, Jacob Njoku.
Selain itu, Sabah FC turut mengekalkan pemain import sedia ada iaitu dari Indonesia Saddil Ramdani dan Park Taesu dari Korea.
Sabah FC akan memulakan saingan Liga Super musim ini bertemu PDRM FC pada 25 Februari depan di Stadium Likas bermula jam 7.30 malam. – SABAH MEDIA