TAWAU: Sepasang suami isteri mengalami kecederaan melecur di badan dalam kejadian kebakaran dapur gas di kediaman mereka di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sri Semarak, dekat sini awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi (27 Mac), mangsa Maesran lamalle, 38, melecur di badan namun kecederaan tidak seteruk isterinya Hernawati Juda, 40, yang melecur hampir ke seluruh badan akibat terkena api semasa kebakaran itu berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau TPgB Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.36 pagi dan pasukan terdiri lima orang anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran dapur benar berlaku seperti yang dilaporkan.
“Menurut maklumat awal, kebakaran berlaku berpunca daripada gas bocor dan menyebabkan berlaku letupan yang mengakibatkan kemusnahan 100 peratus dan kecederaan kepada sepasang suami isteri iaitu isi rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Bagaimanapun katanya, pasukan Bomba tidak menjalankan operasi pemadaman kebakaran kerana api telahpun dipadamkan oleh orang awam menggunakan Alat Pemadam Api (APA).
“Kerja-kerja pemeriksaan dan mengambil keterangan daripada mangsa dijalankan dan seterusnya menghantar kedua-dua mangsa ke Hospital Tawau menggunakan jentera Pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.
Menurut Jemishin, operasi terkawal pada jam 4.10 pagi dan setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di sekitar lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.15 pagi.