Kota Kinabalu : Penceramah bebas terkenal Ustaz Syamsul Debat semalam berjaya mencuit hati lebih 250 warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerusi ceramah bertajuk ‘PDRM Benteng Agama, Nusa dan Bangsa’.
Program ceramah yang diadakan di Surau Fisabilillah itu adalah bersempena Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun.
Selain disertai pegawai, anggota dan pegawai awam, ceramah yang diadakan selama hampir 70 minit itu turut ditonton hampir lebih 1,000 penonton menerusi atas talian di media sosial Facebook surau terbabit.
Hadir sama pada program itu Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Zaidi Abdullah dan Timbalannya, Superintendan Kalsom Idris, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Polis Balai, Pegawai-pegawai Kanan, Anggota Pangkat Rendah serta pegawai awam.
Pada majlis itu, Zaidi diiringi Pengerusi Surau, ASP Marzuki Mohamed menyampaikan cenderahati kepada Syamsul dan cendera kenangan kepada Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah, Superintendan Rosdi Mat Jusoh mantan Pengerusi Surau Fisabilillah.