Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Kerjasama penyelidikan di antara pihak industri pertanian dan institusi pengajian tinggi akan memberi manfaat kepada ramai pihak terutama kepada pemain industri pertanian di Malaysia secara amnya, dan di Sabah khasnya.
Terbaharu, Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah membentangkan hasil penyelidikan bersama Persatuan Pengusaha Durian dan Buah Buahan Tropika Sabah (MaSDa) berkaitan buah avokado dalam siri seminar yang berlangsung di Hotel Ibis, Inanam, baru-baru ini.
Menurut Pensyarah Kanan FPL, Dr. Salumiah Mijin, penyelidikan yang dijalankan itu mendapat suntikan dana daripada pihak Intan Sawit Enterprise dengan sumbangan sebanyak RM30,000 bagi mengenal pasti dan meneliti perkembangan serta kematangan buah avokado varieti QAV1.
“Hasil penyelidikan yang dikongsikan ini akan membolehkan negara mampu mengeluarkan hasil dan mendapat keuntungan yang maksimum serta dapat meningkatkan industri pertanian di Malaysia.
“Selain itu juga, melalui penyelidikan ini, ia akan dapat memberi petunjuk untuk menentukan masa terbaik bagi penuaian buah avokado untuk tujuan pemasaran. Dengan cara ini kerosakan buah selepas tuaian akibat dituai pada usia yang kurang matang, dapat diminimumkan,” katanya.
Tambah Salumiah, ilmu yang dikongsikan pada seminar itu akan dapat membantu para petani meningkatkan kualiti industri perladangan avokado sekali gus meningkatkan pendapatan negara melalui pengeluaran berskala besar.
“Sehingga kini, tiada kajian telah dijalankan untuk menentukan masa optimum untuk menuai buah avokado. Maka kajian ini sangat penting kepada petani, dan ia selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.
“Ekonomi rakyat akan berkembang melalui jualan dan penduduk luar bandar dapat mengatasi garis kemiskinan.
“Terima kasih diucapkan kepada Pengerusi Persatuan Pengusaha Durian dan Buah Buahan Tropika Sabah (MaSDa), Duane Evans dan ahli persatuan yang turut terlibat dalam memastikan penyelidikan ini berjaya mencapai objektifnya,” katanya.
Penyelidikan itu turut disertai oleh Profesor Madya Dr. Suzan Benedict, Jason Fong (Sabacado Farm), Lee Khee Sheng (Intan Sawit Enterpise), Lee Kee Shez (Baja Harapan Group Sdn. Bhd.) dan pelajar program pascasiswazah FPL, Nur Isam Mohd Ranzi. – SABAH MEDIA