HomeUtamaKPDN Sandakan catat nilai rampasan lebih RM2.6 juta dalam tempoh sembilan bulan

KPDN Sandakan catat nilai rampasan lebih RM2.6 juta dalam tempoh sembilan bulan

Read Time:1 Minute, 40 Second

Sandakan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan berjaya menghasilkan sebanyak 145 kes sepanjang sembilan bulan tahun ini dengan nilai rampasan lebih RM2.6 juta.

Ketua Cawangan KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, kes yang dihasilkan itu juga adalah melibatkan nilai kompaun sebanyak RM24,800 manakala nilai denda sebanyak RM20,000.

“Dari jumlah kes yang dihasilkan, sebanyak 79 kes adalah melibatkan kes dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dengan nilai kompaun sebanyak RM17,200.

“Selain itu, turut direkodkan adalah sebanyak 16 kes melibatkan dibawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan nilai kompaun sebanyak RM4,600,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azdy berkata, sebanyak 50 kes lagi direkodkan melibatkan kes dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM3,000.

Katanya, 42 kes dibawah akta berkenaan telah diserahkan melalu agensi luar seperti Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Bagi akta ini, kita telah berjaya merekodkan nilai rampasan sebanyak lebih RM2.6 juta dan nilai denda adalah sebanyak RM20,000,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 5,566 premis di sekitar kawasan bandar dan luar bandar di daerah ini turut diperiksa termasuk pelaksanaan Ops Jamin yang bermula awal bulan ini.

“Bagi pemeriksaan di bandar, kita telah melaksanakan pemeriksaan sebanyak 3,612 premis; 1,954 premis (luar bandar) dan 29 premis menerusi pelaksanaan Ops Jamin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azdy berkata, sebanyak 10 premis telah diperiksa menerusi Ops Jamin termasuklah kilang padi dan peruncit dalam operasi bersepadu KPDN bersama Kawalselia Padi dan Beras (KPN) Cawangan Sandakan di sekitar Sapi Nangoh semalam.

Katanya, operasi itu diadakan adalah bagi memastikan keberadaan barang perlu seperti gula, tepung gandum, minyak masak paket dan beras di kawasan Sapi Nangoh adalah stabil dan mudah diperolehi.

“Pemantauan dan pemeriksaan akan diteruskan dari masa ke semasa ke seluruh kawasan Sandakan termasuklah kawasan luar bandar.

“Kita turut menasihatkan kepada pengguna agar menyalurkan sebarang aduan lengkap kepada KPDN dan KPB melalui saluran yang betul agar penguatkuasaan lebih berkesan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Lima mangsa perempuan termasuk kanak-kanak & remaja rentung dalam kebakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular