Kota Bharu : Sabah FC menepati sasaran apabila berjaya membawa pulang tiga mata berharga selepas menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.
Dalam aksi separuh masa pertama menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berjaya mendahului satu gol dihadapan menerusi jaringan pemain import Gabriel Perez yang berjaya melepasi pertahanan Kelantan sebelum menyumbat masuk bola ke gawang pada minit ke-25.
Bersambung aksi di separuh masa kedua, Sabah terus mendominasi aksi perlawanan dengan beberapa percubaan ke gawang tuan rumah.
Meskipun permainan didominasi pasukan Sabah, KDN FC berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi tonggak import dari Korea Selatan, Kim Gwan-ri pada minit ke-55.
Kemasukan Stuart Wilkin terus memberi nilai tambah buat skuad Badak apabila beliau mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-63 membolehkan Sabah mendahului 2-1 dihadapan.
Pada minit ke-69 permainan, penyerang Sabah, Ramon Machado tenang membuat satu percubaan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Kelantan, Khatul Anuar.
Tidak terhenti setakat itu, pemain gantian Jafri Firdaus Chew cuba melebarkan kedudukan buat The Rhinos namun jaringan yang disudahkan Jafri dibatalkan selepas semakan VAR mendapati Jafri berada dalam kedudukam offside.
Sebelum aksi tamat, Kelantan Darul Naim mencatat satu jaringan di masa tambahan menerusi jaringan Kyung Hwan Bae namun tidak berjaya memberi keputusan seri.
Keputusan 3-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan dan Sabah berjaya membawa pulang tiga mata berharga.
Sabah FC akan meneruskan aksi Liga Super bertemu Kuching City FC di Stadium Likas pada 25 Mei ini. – SABAH MEDIA