HomeIsu tempatanUMS Mahu Masyarakat Menjaga Lautan Agar Kelangsungan Hidup Terus Terjaga

UMS Mahu Masyarakat Menjaga Lautan Agar Kelangsungan Hidup Terus Terjaga

Read Time:2 Minute, 13 Second

9 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) mahu masyarakat sentiasa menjaga lautan yang ada bagi memastikan kelangsungan hidup terus terjaga bagi generasi masa akan datang.

Naib Canselor UMS Datuk Profesor ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, lautan yang berperanan sebagai laluan pengangkutan dan perdagangan banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Antara manfaat yang kita perolehi adalah dari segi sudut ekonomi, makanan, rekreasi dan perubatan. 

“Pada tahun ini, kita menyambut tiga acara bermakna iaitu sambutan Hari Lautan Sedunia, Hari Segitiga Terumbu Karang, dan Hari Penyu Sedunia.  Ini menunjukkan betapa pentingnya lautan kita yang menghasilkan lebih daripada separuh oksigen dunia,”katanya.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan tersebut yang berlangsung melalui platform Zoom serta disiarkan di laman Facebook rasmi Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB).

UMS buat tahun kedua meraikan sambutan Hari Lautan Sedunia yang dirai setiap 8 Jun dengan pelbagai program dan aktiviti yang telah disusun sepanjang bulan Jun ini.

Meskipun dengan kepelbagaian cabaran akibat situasi pandemik COVID-19 pada ketika ini, penganjuran program dengan format secara maya sepenuhnya masih diterima baik, dengan penyertaan yang memberangsangkan oleh masyarakat pada kali pertama penganjurannya secara maya tahun lalu.

Taufiq berkata, selain memberi oksigen dunia, lautan juga mampu mengatur pola iklim dan cuaca serta menjadi rumah bagi pelbagai spesies yang memainkan peranan penting dalam ekosistem masyarakat.

Katanya, tema sambutan tahun ini, iaitu The Ocean: Live and Lifelihoods adalah berkisar tentang kebergantungan manusia terhadap lautan dalam kehidupan dan ekonomi.

“Ekonomi lautan atau Ekonomi Biru memfokuskan dua perkara iaitu penggunaan sumber laut yang mampan untuk pertumbuhan ekonomi, dan peningkatan terhadap kehidupan dan pekerjaan.

“Di Malaysia, Ekonomi Biru menyumbang kepada 23 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan nilai 63 bilion dolar Amerika pada tahun 2015, serta memberi pekerjaan kepada empat juta orang di negara ini,” katanya.

Justeru itu, katanya amat penting untuk menerapkan konsep Quadruple Helix iaitu kolaborasi antara universiti, industri, kerajaan dan komuniti bagi menyumbang secara berkesan kepada masyarakat dan negara dalam konteks mendepani cabaran menyelesaikan permasalahan berkaitan lautan akibat kesan pencemaran, penangkapan ikan berlebihan, penurunan habitat, kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim.

“Saya yakin IPMB turut melaksanakan usaha penyelidikan inovatif dan mengenal pasti penyelesaian yang menyumbang kepada kelestarian dan daya tahan ekosistem lautan kita.

“Sambutan Hari Lautan pada hari ini amat bertepatan sebagai platform untuk membawa komuniti menghargai lautan dan memberi kesedaran terhadap ancaman-ancaman yang dihadapi,” katanya.

Terdahulu, program tersebut turut melibatkan pelbagai agensi luar antaranya Kementerian Alam Sekitar dan Air, U-Science dan Rakan Akuakultur UMS sebagai penganjur bersama, serta kolaborasi dari Malaysian Ocean Youth Ambassador, Tanjung Aru Marine Ecosystem Centre, dan Scubazoo.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

NDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular