PPV Dibuka di Sook, Keningau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

KENINGAU: Satu lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Daerah Keningau dibuka di Dewan Masyarakat Sook bagi melancarkan usaha pihak kerajaan dalam memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Malaysia telah menerima suntikan vaksin pada penghujung tahun ini.

Justeru itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dibawah pasukan kesihatan kawasan Keningau telah melebarkan usaha mereka dengan kerjasama pihak-pihak berwajib dalam penubuhan pusat pemberian vaksin ini yang baharu saja mula beroperasi pada hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata, pembukaan PPV ini merupakan salah satu langkah yang proaktif dan efektif dalam memastikan rakyat khususnya di luar bandar mendapat vaksin dalam kadar yang cepat.

“Selain itu dengan adanya langkah sebegini, akan memudahkan masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang sahih mengenai program vaksinasi ini, malah mana-mana yang belum mendaftar akan didaftarkan terus tanpa melalui aplikasi MySejahtera,”ujar Ellron.

Disamping itu, beliau turut menyeru agar masyarakat Sook khususnya agar mendaftarkan diri dan ahli keluarga masing-masing dengan segera.

“Walau bagaimanapun, individu yang sudah mendaftar awal namun belum dipanggil diminta agar bersabar, pihak yang berwajib sudah sedaya upaya untuk memastikan giliran anda dipercepatkan,”tambahnya.

Terdahulu beliau sempat menyumbangkan sebuah laptop dan dua unit pengesan suhu diterima oleh Dr Mohammad Norhaizam Ahmad yang mengetuai pasukan Kesihatan Kawasan Keningau untuk kegunaan petugas-petugas yang terlibat di PPV tersebut.

Turut hadir semasa pembukaan PPV di Sook iaitu Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Flovia Ng juga merupakan ADUN Tulid, Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson, Penolong Pengawai Daerah Kecil Sook, Paul F. Isidore serta kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sook dan Tulid.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *