Pegawai AIM Digesa Jangan Bersikap Prejudis Terhadap Peminjam

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 10 Second

BEAUFORT : Pegawai lapangan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) digesa untuk tidak bersikap prejudis terhadap Sahabat AIM sehingga enggan meluluskan pinjaman yang dikemukakan oleh pemohon.

Pengerusi Eksekutif AIM Malaysia Datuk Seri Lajim Ukin berkata, ia susulan terdapat rungutan yang diterima Sahabat AIM yang mendakwa pinjaman yang dipohon telah ditolak meskipun pinjaman sebelumnya sudah diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan.

“Ingin saya maklumkan bahawa mana-mana ahli Sahabat yang sudah menyelesaikan pinjaman adalah layak untuk menambah pinjaman dan AIM pusat tidak ada mengeluarkan arahan untuk tidak melayan sebarang pinjaman sama ada baru atau tambahan kerana mereka layak.

“Keengganan tidak meluluskan pinjaman disebabkan kumpulan Sahabat tidak aktif hadir setiap minggu adalah tidak wajar kerana apa yang penting sekali, mereka perlu menyelesaikan pinjaman seperti yang ditetapkan,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Lajim berkata, pihaknya komited untuk membantu Sahabat dalam menghadapi situasi sukar khususnya berdepan pandemik COVID-19 malah turut memberi kelayakan pinjaman tambahan kepada mereka yang sudah lebih 80 peratus pembayaran semula.

“Pihak AIM masih masih mempertimbangkan untuk kelayakan membuat pinjaman tamabahan walaupun ada Sahabat yang masih mempunyai baki tunggakan kira-kira 15 ke 20 peratus pinjaman ekoran pandemik ini.

“Justeru, adalah tidak wajar untuk menolak permohonan pinjaman Sahabat yang sudah melunaskan bayaran apatah lagi mereka yang aktif membayar setiap minggu,” katanya.

Terdahulu, pihaknya mendapat rungutan daripada sekumpulan Sahabat berhubung sikap prejudis seorang pegawai lapangan AIM di sebuah daerah disini yang enggan meluluskan pinjaman tambahan dengan alasan tidak wajar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *