Kerajaan Bantu Mangsa Kebakaran Melalui Agensi Agama

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri melalui agensi-agensi agama Islam di Sabah akan menyalurkan bantuan kepada semua mangsa yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru disini pagi kelmarin.

Antara agensi terlibat adalah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS); Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS); Tabung Haji dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya akan mendapatkan data dan jumlah mangsa terlibat daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Aru dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu  (DBKK).

“Petang kelmarin saya ke Tanjung Aru bagi melawat dan melihat kawasan kebakaran yang mengakibatkan 10 buah rumah musnah dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu.

“Justeru kerajaan melalui agensi-agensi agama akan menyalurkan bantuan berbentuk bakul makanan dan kewangan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Sabah Media disini, hari ini.

Mohd Arifin berkata, sebelum ini agensi-agensi agama terlibat turut menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Aru dalam kejadian yang berlaku pada Mei lalu.

“Moga semua mangsa terlibat bersabar dengan ujian yang berlaku,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya telah meminta Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) DBKK untuk mengaktifkan pusat pemindahan sementara kepada mangsa terlibat.

“Saya difahamkan lebih 34 buah keluarga isi rumah terlibat dalam kejadian kebakaran pagi kelmarin dan akan menghulur bantuan sewajarnya,”katanya.

Terdahulu, pagi kelmarin kira-kira 10 buah rumah setinggan atas air jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru disini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah dalam kenyataan memaklumkan panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada pukul 7.08 pagi melalui talian Malaysia Emergency Respon Servives 999 (MERS 999).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.