100 Jalur Gemilang Diserahkan Kepada Penerima Kawasan DUN Kundasang Sempena Program ‘Info on Wheels’ Merdeka

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

RANAU: Sebanyak 100 Jalur gemilang telah diserahkan kepada beberapa penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang dekat sini, pada Ahad, sempena program ‘Info on Wheels’ Merdeka anjuran Jabatan Penerangan Daerah Ranau.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam yang turut menjayakan program tersebut menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil-wakil penerima iaitu Pengerusi Gerai Peniaga Kundasang, Pengerusi JPKK Kampung Mesilau, Kampung Dumpiring dan juga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang.

Jalur gemilang berkenaan akan dikibarkan di balai-balai raya dalam daerah Ranau bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Terdahulu, Dr Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang telah menyerahkan sumbangan berupa bakul makanan kepada 3,100 ketua isi rumah (KIR) dari 85 kampung dalam kawasan DUN Kundasang.

“Memandangkan peningkatan kes COVID-19 di daerah Ranau, hanya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai wakil mengambil kesemua bakul makanan mengikut kampung dari pusat penyimpanan bakul makanan dan kemudiannya akan diedarkan di kampung masing-masing.

“Manakala edaran bakul makanan ini dikendalikan UPPM DUN Kundasang, diketuai oleh Dounis Sani bersama dengan kakitangan UPPM serta Pejabat ADUN Kundasang,”katanya.

Menurut Dr Joachim, bantuan bakul makanan ini diberikan penduduk yang tersenarai dalam kategori B40 tanpa mengira fahaman politik.

“Mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 akan mendapat bantuan ini,”ujarnya, sambil menambah pihaknya akan terus berusaha untuk memastikan rakyat di sini mendapat bantuan.

“Saya akan pastikan rakyat DUN Kundasang mendapat bekalan makanan tanpa ada yang tercicir,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Joachim turut menasihatkan semua penduduk untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Kini COVID-19 sudah berada dalam komuniti, oleh itu ia bergantung kepada kita untuk menjaga diri sendiri dan keluarga. Terus amalkan penjarakan sosial dan mengikut SOP,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *