Pendekatan baharu dirangka, pastikan bekalan ikan negara mencukupi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 4 Second

BELURAN : Pelbagai program dan pendekatan baharu telah dirangka sepanjang tahun ini bagi meningkatkan pengeluaran dan memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang masa.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia juga selari dengan hasrat Kementerian bagi menjadikan sektor pertanian dan industri makanan termasuk subsektor perikanan menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Katanya, usaha itu termasuklah Program Pembasmian Kemiskinan Nelayan (PPKN) melalui Program ‘Touch Point’ Insentif dan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan. 

“Objektif utama program ini adalah untuk membantu meningkatkan taraf hidup dan pendapatan nelayan di mana salah satu bantuan yang diberikan secara in-kind adalah dengan nilai maksimum RM10,000.

“Bantuan ini diberikan dalam bentuk peralatan penangkapan ikan seperti enjin, sampan, pukat, tong penyimpanan ikan dan sebagainya.  Pada tahun lalu sahaja, sebanyak RM502,800 telah diperuntukkan bagi melaksanakan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bangunan pejabat baharu dan penyerahan bantuan enjin sangkut Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran di sini hari ini.

Dr Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, pada hari ini sahaja seramai 30 ahli PNK Beluran turut menerima bantuan enjin sangkut dengan peruntukan sebanyak RM10,000 seorang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM300,000.

“Sesunggunya, Kerajaan melalui MAFI akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan nelayan.

“Saya berharap agar pengurusan PNK memanfaatkan bangunan yang diterima ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, pihaknya juga sentiasa komited dan prihatin dalam memastikan sosioekonomi golongan nelayan terus diperkasa dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara. 

Katanya, sebanyak RM77.2 juta diperuntukkan untuk disalurkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada tahun ini bagi pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke–12 (RMKe-12).

“Selain itu, MAFI melalui LKIM telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM460 juta di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) untuk baikpulih rumah nelayan dan pembinaan rumah baharu kepada nelayan di seluruh negara.

“Secara keseluruhan, selain PKPN, MAFI melalui LKIM turut memperuntukkan lebih RM150 juta pada tahun ini bagi bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara.

“Ia merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan atau (ESHN), Subsidi Minyak Diesel dan Petrol, Dana Nelayan, Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan, Projek Tanaman Kontan, Bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan dan Program Food Basket Nelayan,” katanya.

Katanya, ESHN telah memberi manfaat kepada lebih 35,000 nelayan laut, dengan objektif pelaksanaannya iaitu bagi membantu golongan nelayan meringankan beban dalam menghadapi tekanan ekonomi disebabkan peningkatan kos sara hidup.

“Bagi ahli-ahli PNK Beluran, seramai 716 nelayan adalah penerima ESHN yang melibatkan peruntukan RM2.3 juta pada tahun ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *