HomeSukanPrestasi pemain import Sabah FC akan dinilai selepas liga bermula

Prestasi pemain import Sabah FC akan dinilai selepas liga bermula

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Penilaian prestasi pemain import Sabah FC yang baru bersama pasukan itu hanya akan dilakukan selepas saingan Liga Super bermula Sabtu depan.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, ini termasuklah dari segi keserasian pemain dalam mengatur permainan.

“Masih lagi terlalu awal untuk saya memikirkan mengenai prestasi mereka tetapi sudah tentu saya akan membuat penilaian apabila Liga Super bermula.

“Di situlah nanti baru kita dapat menilai sama ada mereka mendapat keserasian ataupun tidak menunjukkan prestasi yang baik. Jadi untuk berlaku adil, kita tidak boleh menilai mereka buat masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas aksi perlawanan persahabatan menentang Tampines Rovers dari Singapura di Stadium Likas malam tadi.

Pada perlawanan itu, Sabah FC berjaya mengakhiri aksi persahabatan pra musim dengan mengekalkan pencapaian cemerlang dalam dua aksi persahabatan sebelum ini sebagai bekalan penting untuk melangkah ke Liga Super 2023, bermula 25 Februari ini.

Kemenangan 3-0 ke atas Tampines Rovers FC itu melengkapkan tiga kemenangan berturut-turut selepas menentang Melaka FC, 4-0 dan Geylang International FC juga dari Singapura, 6-0, sebelum ini.

Sabah FC setakat ini dibarisi tujuh pemain import dengan lima daripadanya adalah pemain baharu, masing-masing dua dari Brazil iaitu Gabriel Peres dan Jailton Paraiba, Telmo Castanheira (Portugal), Jacob Njoku (Nigeria) dan Min Ko Kwang (Korea Selatan).

Dua pemain import sedia ada yang dikekalkan sejak musim lalu ialah Saddil Ramdani dari Indonesia dan Park Taesu dari Korea Selatan.

Sementara itu, Kim Swee berkata, pada ketika ini hanya tujuh pemain import berkenaan akan bersama skuad Badak, namun tidak menolak kemungkinan ada penambahan sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain.

“Kita perlu lihat sudut kewangan, yang penting saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan dan buat masa ini tiada perancangan untuk mengambil sesiapa lagi. Namun kita mempunyai beberapa hari lagi sebelum tarikh tutup pendaftaran,” katanya.

Mengenai prestasi pemain tempatan, Kim Swee berkata, semua pemain kini bermain dengan baik dan menunjukkan sikap yang positif.

“Ini amat penting bukan saja dalam padang tetapi juga di luar padang. Semua pemain harus bekerjasama antara satu sama lain,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala SMJ : Persiapan Sabah FC untuk lihat kekuatan, kelemahan pasukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya