HomeSukanLihat semula insiden tersebut - Kim Swee

Lihat semula insiden tersebut – Kim Swee

Read Time:1 Minute, 48 Second

Iskandar Puteri: Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee meminta agar pegawai perlawanan pada aksi pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) semalam untuk melihat semula ulangan video berhubung insiden kontroversi gol pertama pendahulu Liga Super itu.

Ini kerana, gol pertama JDT itu dilihat seakan-akan pemain import Fernando Forestieri berada pada kedudukan ofsaid sebelum gol itu disudahkan penyerang Arif Aiman pada minit ke-20 perlawanan.

“Saya sudah digantung, kalau saya cakap ini saya kena gantung lagi. Jadi saya nasihatkan pada pegawai perlawanan untuk saksikan semula insiden tersebut.

“Kalau saya komen, saya tidak tahu berapa lagi saya kena hukum.  Bukan saja pasukan saya perlu perbaiki tetapi keputusan pegawai juga perlu diteliti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan menentang JDT yang mencatatkan Sabah FC tewas 0-4.

Pada aksi perlawanan itu menyaksikan skuad Badak hilang rekod tanpa kalah, gol JDT dihasilkan oleh Arif Aiman Hanapi pada minit ke-20 disusuli jaringan Juan Muniz pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua giliran Syahmi Safari meledak gol pada minit ke-81 manakala Fernando Forestieri mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-89.

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui kekalahan 0-4 kepada JDT  malam tadi berpunca daripada kegagalan mengawal permainan seperti dirancang malah kerap memberi ruang kepada lawan.

Katanya, JDT mempunyai kualiti permainan dan corak permainan yang berbeza apabila kerap menukar rentak serangan di posisi kiri dan kanan sehingga memerangkap pemain Sabah FC yang jelas hilang punca dan tidak dapat mengimbangi kekuatan skuad kendalian Esteban Solari.

“Apabila kita dibolosi gol pertama dan selang beberapa minit gol kedua ini menyukarkan kita. Namun pada separuh masa kedua apabila kita cuba ke hadapan kita bermain agak baik pada 20 minit pertama separuh masa kedua tapi kita gagal menjaringkan gol.

“Serang balas yang dilakukan oleh pemain JDT menyebabkan pemain saya berada dalam tekanan dan ini adalah kelebihan mereka yang turut memilik banyak pilihan daripada aspek menyerang dan menjadi punca kita dibolosi lagi pada minit akhir perlawanan,” katanya.

Sabah FC kini berada ditangga kedua liga dengan mengutip 13 mata dan akan bertemu Kuala Lumpur City FC pada 5 April ini di Stadium Kuala Lumpur. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah luluskan peruntukan RM12.24 juta naik taraf kemudahan Stadium Likas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular