Pemilik restoran rugi RM23,525, diperdaya sindiket penipuan dalam talian

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Seorang pemilik restoran telah mengalami kerugian sejumlah RM23,525 selepas diperdaya dengan sindiket penipuan dalam talian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Kalsom Idris berkata, pada 30 Mei 2023, jam 7.58 malam, pengadu seorang pemilik restoran telah membuat laporan polis bahawa beliau telah ditipu oleh individu menyamar sebagai Sjn Hafis daripada Kem Rejimen 507, Askar Wataniah telah membuat tempahan makanan melalui panggilan telefon sebanyak 150 pek selama tiga hari.

Katanya, pengadu yakin dengan tempahan atas talian lalu bersetuju untuk membekalkan makanan dan suspek telah menawarkan pengadu untuk menjadi orang tengah antara Kem Rejimen Askar Wataniah dengan sebuah syarikat bagi membekalkan makanan segera (RTE) bernilai rm63,000.

“Apabila pengadu bersetuju maka pengadu diminta untuk membuat bayaran deposit 50 peratus serta dijanjikan keseluruhan barang akan dihantar ke kedai pengadu, lalu pengadu telah membuat pembayaran sebanyak RM23,525 ke tiga akaun individu yang diberikan oleh suspek.

“Suspek berjanji akan membuat bayaran keseluruhan semasa mengambil makanan serta
RTE di kedai pengadu. Namun, suspek tidak mengambil makanan tersebut dan barang RTE juga tidak terima serta suspek gagal dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Kalsom, pengadu telah membuat semakan dengan pihak Kem Rejimen 507 Askar Wataniah mendapati tiada penama Sjn Hafis serta tiada program di kem tersebut. Kemudiannya, pengadu berasa tertipu dan buat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Kalsom berkata, setakat ini pihak polis telah menerima sebanyak lima laporan polis berkenaan modus operandi dan kertas siasatan telah dibuka dibawah seksyen 420 kanun keseksaan.

Seterusnya, Kalsom menasihatkan peniaga-peniaga supaya lebih berhati-hati dan memeriksa kesahihan tempahan serta dokumen berkenaan bagi tempahan atas talian dan jangan mudah terpedaya sehingga melakukan sebarang transaksi wang.

“Pihak polis meminta kerjasama dari semua pihak untuk tampil memberikan maklumat tentang kejadian ini untuk membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan menangkap pelakunya,” tambahnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *