HomePendapatMA63: Aspirasi Rakyat Sabah

MA63: Aspirasi Rakyat Sabah

Read Time:5 Minute, 26 Second

Oleh: Wan Azrain Adnan

1.        Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2023 lalu telah menandakan genap 60 tahun penubuhan Malaysia. Dalam tempoh tersebut, Sabah telah melalui pelbagai peristiwa dan cabaran yang telah merencanakan pembangunan sosio-ekonomi rakyat Sabah. 

2.        Sabah kini masih di belenggu dengan pelbagai isu legasi yang terus menghantui rakyat Sabah. Ini termasuklah pertumbuhan ekonomi yang lembap, pendapatan rakyat yang rendah, kadar kemiskinan serta kadar pengganguran yang tertinggi di Malaysia. Di samping itu, infrastruktur kemudahan awam di Sabah seperti air, elektrik dan jalanraya masih tidak mencukupi. Bangunan serta kelengkapan sekolah juga daif dan tidak lengkap.

4.        Rata-rata rakyat Sabah berpendapat bahawa punca utama yang telah menyebabkan isu-isu legasi berkenaan adalah kerana hak Negeri Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan telah di cabuli serta tidak di penuhi. Kegagalan tersebut menjadi bertambah buruk dengan ketidakcekapan, salah-urus serta ketirisan yang berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Sabah terdahulu sepanjang 60 tahun.

5.        Perkara utama yang di perkatakan ialah hak ke atas hasil Negeri Sabah seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Artikel 112C dan 112D, Sabah berhak menerima Geran Khas Tahunan dengan kadar dua perlima (40%) daripada hasil yang di perolehi oleh Kerajaan Persekutuan dari Negeri Sabah.

6.        Sebagai contoh. Sekiranya Kerajaan Persekutuan mendapat hasil sebanyak RM 1 billion setahun dari Negeri Sabah, maka Sabah berhak menerima Geran Khas Tahunan sebanyak RM 400 juta dari Kerajaan Persekutuan.

7.        Namun begitu, Presiden Parti Cinta Sabah di laporkan berkata bahawa Kerajaan Persekutuan telah tidak membayar hak hasil tersebut kepada Sabah sejak tahun 1973. Ini bermakna hak Sabah telah di nafikan selama 50 tahun. Maka, ianya sudah menjadi isu turun-menurun yang telah menjejaskan kesejahteraan rakyat Sabah, dari satu generasi ke satu generasi.

8.        Pada Jun 2022, sekumpulan ahli politik Sabah telah bertindak memfailkan saman terhadap Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan satu perintah mahkamah agar Kerajaan Persekutuan memperakui dan memberikan hak-hak Sabah yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuklah tuntutan 40% hasil Sabah berkenaan.

9.        Walaubagaimanpun, pada September 2023, saman tersebut telah di tarik balik setelah mereka mendapati ada kemajuan berhubung perkara-perkara yang di bangkitkan, khususnya menerusi penubuhan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), di mana beberapa perkara berkenaan telah pun di persetujui dan akan di laksanakan.

10.      Pada masa yang sama, Presiden United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO) Sabah di laporkan berkata bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memuktamadkan mekanisma pelaksanaan formula pemberian 40% hasil Sabah menjelang Julai 2024. Perkara ini telah di persetujui oleh pemimpin Sabah yang menyertai Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963.

11.      Malah, beberapa hari lepas, Timbalan Perdana Menteri juga telah menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengekalkan jumlah Geran Khas tahun 2024 untuk Sabah seperti yang telah di peruntukkan untuk tahun 2023, sehingga formula Geran Khas tersebut di muktamadkan.

12.      Pada Januari 2023, sebagai satu penyelesaian interim, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menaikkan Geran Khas Tahunan untuk Sabah kepada RM 260 juta. Perdana Menteri Malaysia di laporkan berkata bahawa jumlah geran tersebut adalah angka “peringkat awal” dan tertakluk kepada satu formula yang di persetujui oleh semua pihak, serta keupayaan kewangan Kerajaan Persekutuan.

13.      Setakat ini, hasil rundingan bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah, Geran Khas Tahunan untuk Sabah telah meningkat sebanyak 874% dalam tempoh 3 tahun: RM 26.7 juta (sebelum 2020), RM 53.4 juta (2020), RM 125.6 juta (2022), RM 260 juta (2023). Ini merupakan kejayaan yang amat baik untuk rakyat Sabah. Dengan adanya formula baru nanti, jumlah Geran Tahunan Sabah sewajarnya meningkat lagi, selari dengan pembangunan Negeri Sabah.

14.      Di samping itu, Kerajaan Persekutuan akan meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia untuk memperuntukkan keanggotaan tetap wakil Sabah dan Sarawak sebagai Ahli Lembaga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini sejajar dengan semangat MA63 (Malaysia Agreement 1963) untuk penglibatan serta ketelusan di dalam pengutipan dan pengurusan hasil Negeri Sabah dan Sarawak. Pindaan akta berkenaan bakal di bentangkan semasa Sesi Parlimen yang akan bersidang antara 9 Oktober – 30 November 2023.

15.      Selain daripada rundingan mengenai Geran Khas Tahunan tersebut, Kerajaan Sabah telah berjaya berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah memperolehi lebih banyak kuasa untuk mengawal-selia pengurusan ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam di Sabah.

16.      Pada awal Januari 2023, Dewan Undangan Negeri Sabah telah meluluskan Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023. Ini selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada Kerajaan Sabah. Di samping itu, menurut Ketua Menteri Sabah, Kerajaan Persekutuan juga telah bersetuju secara dasar untuk Kerajaan Sabah mengambil alih kawal-selia bekalan elektrik di Sabah bermula 1 Januari 2024.

17.      Tambahan lagi, Kerajaan Sabah juga telah berjaya meningkatkan kepentingan pegangan serta penglibatan di dalam pengurusan hasil ekonomi Negeri Sabah. Memandangkan industri minyak & gas adalah penyumbang terbesar kepada KDNK Sabah (iaitu lebih 20%), Kerajaan Sabah telah ‘menambah-baik’ kerjasama dengan PETRONAS. Ini termasuklah:

  • meningkatkan pegangan ekuiti kepada 10% di dalam syarikat PETRONAS LNG9
  • memiliki 25% ekuiti di dalam syarikat PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PCFSSB), yang mengendalikan kilang ammonia dan urea di SOGIP, iaitu kilang urea ke-3 terbesar di rantau Asia Pasifik
  • memindah-milik aset huluan gas PETRONAS kepada Sabah Energy Corporation (SEC), sebuah agensi Kerajaan Sabah

18.      Pada masa yang sama, sejak tahun 2020, Kerajaan Sabah telah mengenakan Cukai Jualan Negeri ke atas produk petroleum iaitu minyak mentah petroleum, gas asli, gas asli cecair serta urea dan ammonia. Cukai Jualan Negeri berkenaan di kenakan sebagai satu pendapatan langsung yang konsisten untuk Kerajaan Sabah. Dalam tempoh 26 bulan, dari April 2020 sehingga Jun 2022, sejumlah RM 2.458 billion telah berjaya di kutip dari Cukai Jualan produk petroleum (minyak mentah petroleum, gas asli, gas asli cecair) berkenaan.

19.      Justeru itu, semakin jelas semangat MA63 dapat di zahirkan melalui pelaksanaan pelbagai perkara yang telah di persetujui bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah. Dengan kuasa yang lebih meluas, suara yang lebih tegas serta penglibatan yang lebih menyeluruh, Kerajaan Sabah akan dapat mencorak masa depan Sabah yang lebih cerah dan mampan, mengikut acuan tersendiri. Rakyat Sabah berhak untuk menikmati hasil kejayaan dan kekayaan Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Pusat Hiburan Di Kuala Lumpur terbakar, dipercayai dikhianat dengan bom petrol

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular