HomeIsu tempatanKPDN Sandakan rampas 1,175 minyak petrol bersubsidi

KPDN Sandakan rampas 1,175 minyak petrol bersubsidi

Read Time:2 Minute, 17 Second

Sandakan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan merampas sebanyak 1,175 liter minyak petrol bersubsidi bernilai RM2,408.75 menerusi Ops Tiris di sini semalam.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 7 malam oleh sepasukan penguat kuasa KPDN Sandakan itu telah dijalankan di sebuah stesen minyak di bandar Sandakan.

Ketua Cawangan Pejabat KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, semua minyak yang terkandung dalam 47 unit jerikin telah disita selepas dipercayai cuba untuk diseleweng.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 14 hingga 41 tahun itu terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga asing didapati tidak memilik sebarang kebenaran atau permit bagi membuat pembelian minyak petrol.

“Pihak kita mendapati, semua suspek tidak memiliki sebarang kebenaran atau permit untuk membuat pembelian minyak Petrol RON 95 sebanyak 625 liter yang terkandung di dalam 25 unit  jerikin di stesen minyak berkenaan.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut ke atas stesen minyak terbabit pula mendapati sebanyak 550 liter minyak petrol RON 95 yang terkandung di dalam 22 unit jerikin telah dikesan disimpan di kawasan stesen minyak berkaitan. 

“Siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek yang ditahan di dalam kes ini termasuk pengusaha stesen minyak terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azdy berkata, kesemua suspek yang ditahan dalam kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Ini kerana katanya, Orang Yang Disyaki ada di dalam kawalannya barang berjadual iaitu minyak Petrol RON 95 anggaran sebanyak 625 liter di dalam 25 unit jerikin yang mana keadaan ini menimbulkan syak yang munasabah bahawa suatu kesalahan akan dilakukan iaitu berurusan minyak petrol RON 95 secara borong atau runcit tanpa suatu lesen yang sah.

“Manakala pengusaha stesen minyak terbabit pula akan disiasat di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjual minyak petrol RON 95 yang diisi di dalam 25 unit jerikin kepada ketiga-tiga saspek lelaki berkenaan yang tidak memiliki sebarang kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia serta  memiliki minyak petrol RON 95 sebanyak 22 unit jerikin yang terletak di kawasan stesen minyak terlibat.

“Para pengusaha stesen minyak khususnya di daerah ini adalah diingatkan agar tidak menjual minyak petrol RON 95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.  

“Siasatan dan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Azdy berkata, KPDN Sandakan akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan khasnya di bawah Ops Tiris ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di daerah Sandakan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang-barang berkenaan. – SABAH MEDIA / KPDN SANDAKAN

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penyertaan julung kali bawa tuah, Velvet Aduk dinobat juara CLAS-15

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular