HomeIsu tempatanDBKK berjaya tanam 12,000 pokok sepanjang 2022 hingga 2023

DBKK berjaya tanam 12,000 pokok sepanjang 2022 hingga 2023

Read Time:1 Minute, 52 Second

Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berjaya merekodkan sebanyak 12,000 pokok yang ditanam bagi tempoh 2022 hingga 2023 sekitar bandaraya melalui pelbagai inisiatif dan program tanaman yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, ia merupakan antara program dan kempen  yang dilaksanakan menerusi Kempen Penanaman 36 juta Pokok peringkat Negeri Sabah dan Inisiatif Penghijauan Lestari Aspirasi Negeri Taman Terindah (I-P.L.A.N.T) 2022.

Katanya, program dan kempen itu adalah bagi mencapai sasaran menanam pokok sejumlah 1.3 juta pokok menjelang tahun 2033 di setiap kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan di Sabah perlu menanam sekurang-kurangnya 4,000 pokok setahun di kawasan masing- masing.

“Selaras dengan aspirasi ini, pihak DBKK ingin menyokong aspirasi ini dan inisiatif cintakan alam sekitar melalui pengenalan kepada program Bah! Tanam Pokok dan Sayangi Pantai Kita ini dengan menetapkan sekurang-kurangnya 6,000 pokok ditanam setiap tahun.

“Sehingga hari ini DBKK merekodkan sebanyak hampir 12,000 pokok telah ditanam (angka sejak tahun 2022-2023) melalui pelbagai inisiatif dan program tanaman yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Pada hari ini, pihak DBKK mensasarkan sekurang-kurangnya 1,000 pokok ditanam di seluruh kawasan Kota Kinabalu. Momentum kejayaan menanam lebih dari sasaran setiap tahun perlu dipergiat agar kita akan dapat memastikan sasaran tercapai dengan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program “Bah! Tanam Pokok Dan Sayangi Pantai Kita,” di Taman Awam Teluk Likas 1 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah DBKK Junainah Abbie.

Dr Sabin berkata, atas dasar itu pihaknya menggalakkan warga Kota Kinabalu bersama- sama menanam  pelbagai spesis pokok dan menyertai kempen kesedaran alam sekitar di tempat masing-masing.

Katanya, ia akan dapat mempertingkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bagi mengekalkan tahap kehijauan,  kualiti landskap dan persekitaran yang menyumbang kepada kualiti kehidupan yang sihat, selamat dan indah di seluruh kawasan Kota Kinabalu.

“Kawasan pesisir pantai merupakan kawasan yang sensitif dan cenderung terdedah kepada pelbagai ancaman seperti hakisan pantai dan pencemaran yang boleh mendatangkan kesan kepada kesejahteraan hidup manusia, persekitaran dan ekosistem.

“Saban hari kita melihat sampah-sampah seperti botol plastik minuman kerap terapung di pinggir laut sehingga kadangkala menimbulkan rasa jijik dan kesal kepada kita mahupun pelancong luar,” katanya. SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Petugas Tabung Darah digesa tingkat kemahiran, pengetahuan demi keselamatan pesakit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular