HomeIsu tempatan44 kes berkaitan 'melioidosis' direkodkan di Sabah

44 kes berkaitan ‘melioidosis’ direkodkan di Sabah

Read Time:2 Minute, 27 Second

Kota Kinabalu: Sebanyak 44 kes berkaitan melioidosis direkodkan di seluruh Sabah yang merupakan sejenis penyakit disebabkan oleh jangkitan bakteria Burkholderia pseudomallei yang terdapat di permukaan air dan tanah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna berkata, jumlah itu merupakan kes yang direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-14 (ME14) pada tahun ini.

Katanya, sebanyak satu kes berkaitan penyakit berkenaan telah dikesan di lokaliti Padang Ragbi, Tanjung Aru, di sini yang dinotifikasikan pada 11 Mac lalu.

“Sampel tanah telah diambil di lokaliti berkenaan berdasarkan pergerakan kes yang pernah bermain ragbi di padang ragbi tersebut. Satu sampel didapati positif dengan bakteria Burkholderia pseudomallei iaitu agen penyebab kepada penyakit melioidosis.

“Pesakit telah memberikan sejarah mengalami luka di bahagian kaki semasa bermain ragbi yang mungkin menyebabkan jangkitan kepada beliau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media sosial berkenaan Kawalan Persekitaran Bagi Penyakit Berjangkit Melioidosis di Padang Ragbi, Tanjung Aru, yang tular baru-baru ini.

Dr Asits berkata, jumlah kes yang direkodkan sehingga ME14 2024 itu merupakan peningkatan sebanyak 12.8 peratus berbanding dengan jumlah kes yang dilaporkan pada ME yang sama pada tahun lalu iaitu sebanyak 39 kes.

Katanya, enam daerah tertinggi yang melaporkan kes melioidosis adalah Sandakan sebanyak 12 kes, Kota Kinabalu (11), Papar (5), Penampang (5), dan masing-masing dua kes di Sipitang serta Keningau.

“Manusia boleh dijangkiti penyakit ini apabila terdedah secara langsung kepada tanah dan sumber air yang tercemar dengan bakteria tersebut. Jangkitan sering berlaku terutamanya sewaktu musim hujan.

“Transmisi jangkitan boleh berlaku melalui saluran pernafasan (debu atau titisan air yang tercemar), terminum air yang tercemar atau melalui luka di kulit. Golongan yang berisiko tinggi adalah mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit hati, sakit buah pinggang, talasemia, kanser atau lain-lain keadaan daya tahan (imuniti) badan yang rendah,” katanya.

Menurutnya, antara gejala yang mungkin dialami adalah seperti demam yang tinggi, sakit sendi, batuk, sakit dada, kudis, bisul, nanah, sakit kepala, tiada selera makan, dan rasa lesu seluruh badan.

Tambahnya lagi, penyakit ini boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik tertentu.

“Rawatan awal dengan antibiotik adalah perlu bagi mengelakkan pesakit, terutamanya golongan berisiko tinggi, daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk dan mengelakkan daripada kematian,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, JKNS ingin menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan pendedahan kepada tanah dan sumber air yang tercemar terutamanya mereka yang mempunyai luka pada permukaan kulit serta mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan sakit buah pinggang.

Katanya, langkah- langkah kawalan lain adalah penggunaan kasut kalis air, sarung tangan, dan pelitup muka bagi mereka yang terlibat dengan kerja-kerja yang terdedah kepada sumber tanah dan air tercemar.

“Jika terdapat sebarang luka pada anggota badan, cuci dan balut luka dengan sempurna. Segera dapatkan rawatan sekiranya demam atau mengalami gejala selepas terdedah kepada tanah atau air tercemar.

“JKNS sentiasa memantau kejadian penyakit melioidosis dan mempertingkatkan aktiviti promosi kesihatan kepada masyarakat berkaitan dengan langkah-langkah kawalan dan pencegahan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MEDIA SOSIAL

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pekerja pasang kabel besi di Sg Ulu Segama, dikhuatiri lemas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular