HomePendapatPeningkatan kadar gaji minimum mampu hasilkan situasi 'win-win' antara pekerja,majikan

Peningkatan kadar gaji minimum mampu hasilkan situasi ‘win-win’ antara pekerja,majikan

Read Time:6 Minute, 4 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1.        Hampir tiga minggu lepas, Hari Pekerja 2024 telah di sambut secara meriah, dengan tema Pekerja Kesuma Bangsa. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kesuma ialah perkataan Bahasa Melayu lama bermaksud bunga.

2.        Semasa sambutan Hari Pekerja 2024 tersebut, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13%, bermula 1 Disember 2024. Pengumuman berkenaan telah di sambut dengan pelbagai reaksi rakyat Malaysia, positif dan juga negatif.

3.        Ramai rakyat, terutamanya penjawat awam, gembira dengan berita kenaikan gaji tersebut. Sudah lebih 15 tahun sejak penjawat awam dapat menikmati kenaikan gaji yang besar sebegitu. Pada masa yang sama, ramai juga yang mempertikai kenaikan gaji yang besar itu, ketika Kerajaan Malaysia menghadapi kekangan kewangan serta suasana ekonomi negara dan global yang masih goyah dan mencabar.

4.        Sejurus pengumuman Perdana Menteri Malaysia tersebut, beberapa Kerajaan Negeri turut mengumumkan kesediaan untuk menaikkan gaji penjawat awam di peringkat negeri. Antaranya: Selangor, Sabah, Pulau Pinang dan Johor.

5.        Hakikatnya, ramai rakyat Malaysia kecewa kerana kenaikan gaji tersebut hanya melibatkan penjawat awam, yang berjumlah sekitar 1.6 juta. Menurut Menteri Sumber Manusia Malaysia, jumlah keseluruhan pekerja di Malaysia ketika ini ialah 16.51 juta orang. Ini bermakna majoriti pekerja di Malaysia, iaitu melebihi 90%, tidak sama-sama menikmati kenaikan gaji yang di umumkan tersebut.

6.        Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia/ Malaysian Trades Union Congress (MTUC) di laporkan berkata MTUC menerima secara positif pengumuman kenaikan gaji penjawat awam tersebut. Namun begitu, MTUC sudah pasti kecewa tiada sebarang pengumuman di buat oleh Kerajaan Malaysia berkaitan gaji pekerja swasta.

7.        Pada Mac 2024, Setiausaha Agung MTUC di laporkan telah mendesak Kerajaan Malaysia untuk mengumumkan kadar Gaji Minimum yang baru menjelang 1 Mei 2024. Ini memandangkan kadar Gaji Minimum sekarang sudah menjangkaui 2 tahun, sejak di laksanakan pada 1 Mei 2022.

8.        Menurut beliau, bersandarkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Akta 732), kadar Gaji Minimum mesti di kaji dan di tetapkan sekurang-kurangnya sekali setiap 2 tahun. Ini membolehkan penetapan kadar Gaji Minimum terkini yang selari dengan peningkatan kos sara hidup rakyat.

9.        Fakta menarik: Pelaksanaan Dasar Gaji Minimum merupakan salah satu daripada cadangan yang di usulkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) kepada Kerajaan Malaysia pada tahun 2010, di bawah Model Baru Ekonomi (MBE).

10.      Cadangan Dasar Gaji Minimum tersebut di terima oleh Kerajaan Malaysia memandangkan satu kajian, yang di jalankan pada 2009, mendapati lebih 30% pekerja swasta memperolehi pendapatan di bawah RM 700 sebulan. Sebagai perbandingan, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara ketika itu ialah RM 800 sebulan.

11.      Dasar Gaji Minimum ini juga selaras dengan agenda Model Baru Ekonomi untuk melonjak status Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat secara mampan dan inklusif.

12.      Oleh itu, sejak tahun 2012, Dasar Gaji Minimum telah mula di laksanakan oleh Kerajaan Malaysia dengan kadar Gaji Minimum sebanyak RM 900 sebulan. Sejak itu, kadar Gaji Minimum telah di kaji dan di naikkan beberapa kali. Bermula 1 Mei 2022 sehingga kini, kadar Gaji Minimum ialah RM 1,500 sebulan.

Sumber: Portal Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, Kementerian Sumber Manusia Malaysia

13.      Beberapa hari lepas, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Malaysia untuk mempertimbangkan kenaikan kadar Gaji Minimum kepada RM 2,102 sebulan.

14.      Ini berikutan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu/ United Nations Children’s Fund (UNICEF) yang menyatakan kadar Gaji Minimum RM 1,500 sekarang adalah tidak mencukupi, dan wajar di naikkan kepada RM 2,102.

15.      Menurut Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), penilaian dan penetapan kadar Gaji Minimum mengambil kira 5 kriteria utama. Ini melibatkan pendapatan pekerja, produktivi pekerja, kadar inflasi dan kadar pengganguran.

Sumber: Portal Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, Kementerian Sumber Manusia Malaysia

16.      Fakta menarik: Kadar Gaji Minimum di tetapkan oleh Kerajaan Malaysia berdasarkan syor daripada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN). Ahli-ahli MPGN terdiri daripada wakil pekerja, majikan, kerajaan dan juga pakar-pakar dalam bidang yang berkaitan.

17.      Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Ke-3 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), median atau penengah upah bulanan pekerja pada September 2023 adalah sebanyak RM 2,600.

18.      Data DOSM turut menunjukkan penengah upah bulanan pekerja Malaysia telah meningkat sebanyak 26% sejak tahun 2020 sehingga kini: RM 2,062 (2020), RM 2,250 (2021), RM 2,424 (2022), RM 2,600 (2023).

19.      Sebagai perbandingan, dalam tempoh tersebut, kadar Gaji Minimum telah meningkat sebanyak 25%, iaitu dari RM 1,200 (2020) kepada RM 1,500 (2022).

20.      Selain itu, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional yang di tetapkan oleh Kerajaan Malaysia ketika ini ialah RM 2,589 sebulan. Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Ke-3 2023 tersebut jelas menunjukkan hampir 50% pekerja menerima upah di bawah RM 2,500 sebulan, seterusnya meletakkan mereka di bawah paras kemiskinan.

21.      Di samping itu, kadar inflasi dan pengganguran turut di ambil-kira oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) untuk menetapkan kadar Gaji Minimum yang sesuai untuk kesejahteraan rakyat. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM):

  • kadar inflasi: kadar inflasi negara terus menurun dari paras 4.7% (Ogos 2022), dan kekal di bawah paras 2% sejak Ogos 2023 sehingga sekarang.

Sebagai contoh: 1.5% (Disember 2023), 1.5% (Januari 2024), 1.8% (Februari 2024), 1.8% (Mac 2024).

  • kadar pengganguran: kadar pengganguran negara terus mendatar pada paras 3.3%(November 2023 – Mac 2024), dan kekal di bawah paras 3.5% sejak Februari 2023.

22.      Setakat ini, kadar Gaji Minimum telah meningkat 40% dalam tempoh 10 tahun (2012 – 2022). Peningkatan terbesar adalah sebanyak 25% (RM 300) pada tahun 2022.

  • 11% (RM 100): RM 900 (2012) kepada RM 1,000 (2016)
  • 10% (RM 100): RM 1,000 (2016) kepada RM 1,100 (2018)
  • 9% (RM 100): RM 1,100 (2018) kepada RM 1,200 (2020)
  • 25% (RM 300): RM 1,200 (2020) kepada RM 1,500 (2022)

23.      Maka, jika kadar Gaji Minimum di naikkan dari RM 1,500 kepada RM 2,102 seperti yang di cadangkan oleh UNICEF, ini akan melibatkan kenaikan sebanyak 40% (RM 602). Jumlah ini sudah pasti terlampau besar untuk di tampung oleh majikan, terutamanya majikan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS). Pada tahun 2020, PKS menyediakan sejumlah 7.3 juta pekerjaan, iaitu 48% daripada jumlah pekerja di Malaysia.

24.      Justeru itu, kadar Gaji Minimum yang baru mungkin lebih sesuai di tetapkan di antara RM 1,600 dan RM 1,800. Ini akan melibatkan kenaikan yang tidak melebihi 20% (RM 300).

25.      Sebarang peningkatan kadar Gaji Minimum wajar menghasilkan situasi win-win untuk pekerja dan majikan, dengan mengambil kira kesejahteraan pekerja dan kemampuan majikan.

26.      Pekerja dan majikan berpisah tiada, seumpama sehidup semati. Wajarlah kedua-dua hidup sejahtera, dan bukannya satu hidup, satu mati. Ataupun dua-dua mati.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Kerajaan wajar perkasa Kolej Komuniti agar jadi pilihan rakyat dapatkan latihan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular