Kota Kinabalu : Penduduk terjejas banjir di Sabah yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 989 mangsa dipindahkan ke enam buah PPS setakat jam 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, daerah Beaufort mencatat peningkatan apabila seramai 538 mangsa dipindahkan ke dua PPS.
Antara PPS yang dibuka di daerah itu adalah di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Selagon dan Dewan Kebudayaan dan Kesenian Bisaya masing-masing menempatkan seramai 337 dan 201 orang.
“Manakala di Kinabatangan dan Tambunan, jumlah mangsa dipindahkan masing-masing kekal 278 dan 13 orang setakat jam 8 pagi tadi.
“Di daerah Membakut, satu PPS dibuka iaitu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut yang menempatkan seramai 160 orang mangsa melibatkan 53 keluarga,” menurut kenyataan itu di sini. – SABAH MEDIA