Oleh WAN AZRAIN ADNAN
Sabah terus digambarkan sebagai ‘permata kasar’—sebuah negeri dengan potensi luar biasa yang belum digilap sepenuhnya. Menyempurnakan potensi ini bukan suatu tugas mudah, tetapi menuntut kepimpinan yang berwibawa, dasar yang konsisten dan kesabaran berterusan.
Baru-baru ini, seorang bekas Ketua Menteri merangkap ADUN Senallang mendakwa ekonomi Sabah belum mencapai semula tahap pra-pandemik, merujuk kepada prestasi negeri semasa ditadbir beliau antara 2018 hingga 2020. Beliau turut menyatakan bahawa pentadbiran semasa belum menunjukkan kemajuan ketara walaupun sudah lebih empat tahun menerajui negeri.
Antara lain, beliau memetik angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2019 sebagai yang tertinggi dalam sejarah Sabah dan menyeru agar rakyat menilai prestasi pemimpin melalui pencapaian yang boleh diukur, bukan semata-mata janji politik.
Hakikatnya, statistik semasa mengesahkan bahawa pertumbuhan KDNK Sabah kekal perlahan. Namun, menilai prestasi sesebuah kerajaan hanya berdasarkan satu indikator makroekonomi seperti KDNK tanpa mengambil kira pencapaian menyeluruh, adalah tidak tepat dan berisiko menimbulkan persepsi yang pincang.
Belanjawan Sabah Terbesar Dalam Sejarah
Walaupun pertumbuhan KDNK terbatas, kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membentangkan belanjawan negeri terbesar dalam sejarah. Sepanjang lima tahun dari 2021 hingga 2025, pendapatan dan perbelanjaan negeri meningkat secara konsisten:
- PENDAPATAN: meningkat 44% daripada RM4.481 bilion (2021) kepada RM6.445 bilion (2025).
- PERBELANJAAN: meningkat 49% daripada RM4.303 bilion kepada RM6.421 bilion dalam tempoh sama.
Bagi tahun 2025, lebihan belanjawan walaupun kecil (RM24.08 juta), tetap mencerminkan disiplin fiskal berterusan.

Pada masa yang sama, Kerajaan Sabah telah mengumumkan Belanjawan yang jauh lebih besar berbanding negeri-negeri yang lebih maju dan pesat membangun. Sebagai perbandingan:
- Belanjawan Selangor 2025: pendapatan (RM 2.35 bilion), perbelanjaan (RM 3 bilion)
- Belanjawan Johor 2025: pendapatan (RM 2.005 bilion), perbelanjaan (RM 1.999 bilion)
- Belanjawan Pulau Pinang 2025: pendapatan (RM 906.59 juta), perbelanjaan (RM
940.22 juta)
Fokus kepada Rakyat dan Kemiskinan Tegar
Peningkatan besar (49%) peruntukan perbelanjaan dalam tempoh masa 5 tahun jelas membuktikan keazaman Kerajaan Sabah untuk menjana kesejahteraan rakyat.
Peningkatan peruntukan perbelanjaan hanya terjadi dengan kejayaan Kerajaan Sabah (GRS) melonjakkan hasil pendapatan Sabah.
Sebagai contoh, di bawah Belanjawan Sabah 2025, Kerajaan Sabah telah menyediakan dana:
- RM 358.5 juta: untuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur), bagi membantu rakyat miskin menghadapi cabaran kos sara hidup. Bermula bulan Februari 2025, Fasa 1 Program Syukur melibatkan 72,060 Ketua Isi Rumah Miskin dan Miskin Tegar.
- RM 250 juta: untuk membina 3,000 Rumah Mesra Sabah Maju Jaya

Lebih membanggakan, jumlah Ketua Isi Rumah Miskin Tegar di Sabah berjaya dikurangkan hampir 90% dalam masa setahun—daripada 14,553 (Feb 2024) kepada 1,464 orang (Feb 2025).
Ini adalah satu kejayaan yang amat membanggakan, memandangkan Sabah memiliki jumlah Miskin Tegar yang tinggi bertahun-tahun lamanya, termasuklah semasa pentadbiran Kerajaan Sabah terdahulu.
Pelaburan Asing Kukuhkan Sektor Pembuatan
Kerajaan Sabah terus menarik pelaburan besar dari luar negara, yang melebarkan kepelbagaian sektor ekonomi Sabah. Ini selari dengan usaha Kerajaan Sabah (GRS) untuk membina sektor pembuatan yang mampan dan berdaya-saing.
Sebagai contoh, sektor pembuatan telah menerima pelaburan berbilion Ringgit:
- SK Nexilis dari Korea Selatan telah melabur lebih RM 4 bilion untuk pembinaan kilang kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik (EV), yang menyediakan 5,000 peluang pekerjaan
- Kumpulan Kibing dari China telah melabur lebih RM 2 bilion untuk pembinaan kilang pembuatan kaca solar
Pada 2023, sektor pembuatan Sabah mencatat pertumbuhan 4.4% — tertinggi di negara ini, mengatasi kadar nasional 0.7%.

Perdagangan dan Rizab Negeri Capai Tahap Tertinggi
Kerajaan Sabah (GRS) telah berjaya meningkatkan jumlah perdagangan Sabah. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah perdagangan Sabah telah merekodkan peningkatan ketara melebihi RM 100 bilion, tertinggi di dalam sejarah Sabah:
2023: RM 105 bilion, dengan lebihan dagangan RM 20.6 bilion 2022: RM 118.1 bilion, dengan lebihan dagangan RM 36.2 bilion 2021: RM 87.2 bilion, dengan lebihan dagangan RM 24.1 bilion
Malah, dengan peningkatan perdagangan, pelaburan dan pelancong dari Korea Selatan, pejabat Konsulat Korea Selatan telah di buka di Kota Kinabalu pada bulan September 2023.
Manakala rizab simpanan negeri meningkat hampir 130% dalam tempoh enam tahun:
· 2018: RM3.77 bilion
- 2024: RM8.6 bilion
Peningkatan besar hampir 130% sejak 2018 membuktikan Kerajaan Sabah (GRS) telah menguruskan kewangan Sabah secara berhemah. Rizab simpanan wang yang besar penting bagi masa depan Sabah.
Antara lain, ianya berfungsi sebagai penimbal/ buffer sekiranya berlaku krisis yang mengganggu-gugat kesejahteraan rakyat Sabah.
Industri Pelancongan Pulih Pesat
Sektor pelancongan telah berkembang begitu pesat, pasca pandemik Covid-19. Pada tahun 2023, Sabah telah merekodkan jumlah pelancong sekitar 2.3 juta orang, dengan jumlah perbelanjaan pelancongan sebanyak RM 4.6 billion. Pada tahun 2024, jumlah pelancong meningkat lagi kepada 3.14 juta.
Malah, bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, jumlah pelancong di Sabah di sasar berjumlah 3.7 juta, dengan anggaran jumlah perbelanjaan pelancongan sebanyak RM 9.1 billion.
Dengan pertumbuhan sektor pelancongan yang pesat, pada penghujung tahun 2024, projek menaik-taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) telah di umumkan melibatkan kos hampir RM 450 juta. LTAKK, yang merupakan lapangan terbang ke-2 tersibuk di Malaysia, bakal menyaksikan penambahan kapasiti terminal dari 9 juta kepada 12 juta penumpang.
Menghadapi Isu Legasi dan Demografi
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan Sabah masih dicengkam isu legasi seperti bekalan air, elektrik dan jaringan pengangkutan. Di samping itu, isu demografi turut menambah beban pentadbiran:
22% daripada populasi Sabah (3.39 juta) ialah penduduk bukan warganegara, dengan daerah seperti Kinabatangan mencatat majoriti 78% bukan warganegara.
Rata-rata warga asing tanpa dokumen hidup di dalam kemiskinan kerana tidak mendapat pekerjaan dan pendapatan yang tetap. Seterusnya, mereka menjadi bebanan kepada kewangan serta pelbagai kemudahan awam seperti elektrik, air dan kesihatan.
Sudah pasti usaha pembangunan Sabah melibatkan penyelesaian menyeluruh isu-isu legasi berkenaan. Ini memerlukan perancangan yang teliti, dana yang besar dan tempoh masa yang lama. Berdepan dengan cabaran isu-isu legasi berkenaan, Kerajaan Sabah (GRS) telah melaksanakan Pelan Pembangunan Negeri Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021 – 2025.
Setakat ini, agenda Sabah Maju Jaya telah menghasilkan pelbagai kejayaan. Ini meletakkan Sabah di atas landasan yang kukuh untuk pembangunan yang lebih pesat.
Kejayaan awal ini hanya dapat di lonjakkan lagi dengan kesinambungan agenda pembangunan menerusi kestabilan dan kekuatan politik, serta kepimpinan yang berwawasan.
Untuk memacu lebih jauh, kesinambungan dasar, kestabilan politik dan kepimpinan berwawasan adalah elemen yang tidak boleh dikompromi.
Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera.