KOTA KINABALU : Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee yakin keserasian antara pemain dapat dicapai sepenuhnya sebelum pertemuan menentang Melaka United FC (MUFC) pada saingan Liga Super 2022 pada 5 April depan.
Katanya, keserasian pemain pada ketika ini dilihat masih jauh dan kurang selain beberapa pertukaran pemain dibuat selepas perlawanan menentang PJ City FC termasuk perlawanan Piala FA bertemu Respect FC malam tadi.
“Dari segi keputusan (menentang Respect FC) bagus untuk kita layak ke peringkat seterusnya tapi dari segi prestasi masih banyak kelemahan, jika kita lihat banyak pertukaran yang saya lakukan dengan ramai pemain-pemain diberi peluang namun belum mendapat rentak yang lebih baik daripada apa yang saya jangkakan.
“Untuk keputusan memang kita inginkan dan separuh masa kedua kita berjaya mendapatkan dua gol dan itu lebih penting untuk kita melangkah ke peringkat seterusnya.
“Namun saya percaya dalam masa tiga minggu ini selepas hari ini (semalam) sebelum perlawanan seterusnya, saya harap mereka semua akan bangkit dan menunjukkan lebih keserasian sebelum kita bermain dengan Melaka pada 5 April nanti,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan menentang Respect FC pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Likas malam tadi.
Pada perlawanan itu, Sabah FC berjaya menundukkan pasukan pelawat dengan jaringan 2-0 seterusnya layak ke pusingan kedua saingan Piala FA.
Gol Sabah FC masing-masing dijaringkan Ummareng Bacok pada minit ke-50 dan Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-84.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemilihan Dominic Tan ke pasukan kebangsaan, Kim Swee berkata, ia merupakan satu peluang yang baik kepada pemain pertahanan Sabah FC itu.
“Itu satu peluang yang cukup baik untk Dominic Tan, beliau membuktikan dengan kita selama dua perlawanan bermain dengan Negeri Sembilan dan PJ City.
“Ia juga memberi Dominic peluang untuk mendapatkan peluang bersama pasukan kebangsaab untuk persiapan kelayakan Asia nanti,”katanya.