Ketua Pemuda PKR Sabah Berdepan Siasatan Berhubung Dakwaan Jual Anak

Read Time:1 Minute, 5 Second

KOTA KINABALU: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kenyataan oleh ahli politik Sabah baru-baru ini, mendakwa seorang wanita yang menghadapi masalah kewangan cuba menjual anaknya.

Ketua Polis Keningau, Shahrudin Mat Hussin, berkata kenyataan media dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar, 16 Jun lalu boleh membangkitkan kegentaran awam dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, wanita itu telah membuat laporan yang menyangkal dakwaan Ahuar, dan siasatan polis mengenainya menunjukkan tidak wujud isu penjualan anak atau sindiket pemerdagangan manusia.

Rabu lalu, Ahuar mendakwa tiga kanak-kanak tersebut adalah mangsa pemerdagangan manusia oleh ibu mereka yang berputus asa selepas sumber pendapatannya terputus kerana sekatan pergerakan.

Beliau turut mendakwa, ketiga-tiga kanak-kanak itu diselamatkan oleh polis dan jabatan kebajikan di Keningau.

Namun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali, menafikan kejadian itu.

Shahrudin berkata, kenyataan Ahuar “dilihat menimbulkan ketakutan orang ramai kerana menyentuh isu pemerdagangan manusia dan penyeludupan antara negara, seolah-olah ini berlaku tanpa kawalan pihak berkuasa”.

Beliau berkata, polis sudah menjalankan siasatan menyeluruh mengenai dakwaan awal Ahuar dan mendapati tidak ada isu melibatkan penjualan kanak-kanak atau sindiket pemerdagangan manusia.

“Ibu kanak-kanak itu juga sudah membuat satu laporan polis dan dengan tegas menafikan kenyataan ahli politik terbabit.

“Polis sentiasa peka dan mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam berkaitan jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” katanya. – FMT

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.