UMS terima dana lebih RM1 juta dibawah inisiatif PENJANA KPT – PACE Fasa 3

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima dana berjumlah RM1,191,500.00 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi pelaksanaan program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) KPT- Professional Certificate (PACE) Fasa 3 pada tahun ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM376,000 diterima untuk pelaksanaan Kursus Program Jaminan Keselamatan Makanan dan Kursus Latihan Eksekutif Halal di bawah Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS.

“Sejumlah RM590,000 pula untuk penganjuran Kursus Profesional 360 Real Estate Advance Programme (360 Reap) dan Kursus Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan (OSH-C) di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).

“Manakala, sebuah lagi program di bawah Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS, iaitu Android Certified Associate Developer (ACAD) telah berjaya menerima dana berjumlah RM108,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Kasim, dana selebihnya diterima melalui Fakulti Kejuruteraan (FKJ) untuk pelaksanaan dua kursus.

“Kursus Kompetensi Jentera Juruteknik Pelincir Tahap 1 menerima dana berjumlah RM67,500 manakala Kursus Penyelia Keselamatan Tapak Bina menerima sebanyak RM50,000.

“Kita amat berterima kasih kepada pihak KPT kerana terus memberikan kepercayaan dan pengiktirafan kepada UMS untuk melaksanakan program-program yang bersifat memperkasa kemahiran insaniah pelajar seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Untuk rekod, PENJANA KPT- PACE merupakan sebuah inisiatif kerajaan melalui KPT bagi meningkatkan kemahiran,pengukuhan kompetensi dan kebolehpasaran pelajar tahun akhir dan graduan 2022 melalui pensijilan professional.

Pelaksanaanya dikendalikan oleh Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) UMS di bawah seliaan pengarah, Prof. Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *