HomeLuar negaraJemaah haji mula berkumpul di Padang Arafah

Jemaah haji mula berkumpul di Padang Arafah

Read Time:1 Minute, 39 Second

AFP
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Makkah: Ratusan ribu jemaah mula berkumpul di Padang Arafah, dekat sini, hari ini, bagi melengkapkan ibadah haji, ketika musim panas makin memuncak.

Menurut wakil kerajaan, upacara dalam ibadah haji yang juga satu daripada lima rukun Islam itu membabitkan jumlah terbesar selepas tiga tahun sekatan COVID-19.

Lebih 2.5 juta jemaah dijangka menyertai musim haji kali ini.

Suhu meningkat sehingga 46 darjah celsius, semalam, ketika jemaah mengembara dari sini ke Mina, sebelum bermalam di Padang Arafah.

Seorang daripada jemaah haji, Tasneem Gamal, 35, yang ditemui mengakui sangat terharu sebaik tiba di Arafah sehingga tidak dapat menggambarkan perasaannya.

Tasneem sedang menunaikan haji tanpa mahram, satu syarat yang ditangguhkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi sehingga 2021.

Tahun ini, had umur maksimum juga dihapuskan, memberi peluang kepada ribuan warga emas untuk turut sama menjalani ibadat berkenaan.

Jemaah haji berdepan cabaran fizikal berikutan perlu menghabiskan masa berdoa dan membaca al-Quran di Padang Arafah dan di kawasan sekitarnya, di tengah-tengah suhu tinggi.

Tinjauan melalui helikopter mendapati, laluan masuk ke Padang Arafah bukan sahaja dipenuhi dengan jemaah namun ribuan pekerja kesihatan turut sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap sebarang risiko kes strok haba dan keletihan.

Suhu dikesan menjadi tinggi dari jam 12 tengah hari hingga 3 petang, malah aktiviti buruh di luar turut dilarang di Arab Saudi bermula bulan ini hingga September bagi melindungi pekerja.

Selepas matahari terbenam, jemaah haji dijangka menempuh perjalanan dengan jarak singkat ke Muzdalifah, iaitu kawasan pertengahan antara Arafah dan Mina, untuk bermalam di sana.

Keesokan harinya, mereka dijangka menyempurnakan ibadah melontar menggunakan batu kerikil di tiga Jamrah melambangkan lontaran batu ke arah syaitan.

Perhentian terakhir adalah kembali ke Masjidil Haram, di mana jemaah akan melakukan tawaf terakhir di Kaabah bagi melengkapkan rukun haji.

Selain cuaca panas, upacara mengerjakan ibadat haji turut pernah berdepan risiko lain seperti rempuhan dan kebakaran maut.

Malah pada 2015, berlaku rempuhan yang mengorbankan sehingga 2,300 orang namun tiada insiden besar lain berlaku sejak itu. – AFP

RELATED ARTICLES
Utama

Bekas wartawan penderma organ pertama di Sabah tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya