HomeEkonomiPerkasa wakaf hijau demi agenda ketahanan iklim negara

Perkasa wakaf hijau demi agenda ketahanan iklim negara

Read Time:3 Minute, 49 Second

Oleh: Dr. Mohd. Zaidi Md. Zabri

Pada bulan Julai, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah meluncurkan pelan Ekonomi MADANI sebagai wadah untuk mengangkat semula darjat dan martabat Malaysia melalui penstrukturan semula ekonomi ke arah negara peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Ekonomi MADANI mempunyai dua pendekatan serampang dua mata yakni ‘menaikkan siling’ sebagai peneraju ekonomi Asia dan ‘menaikkan lantai’ untuk mempertingkat usaha menaikkan darjat hidup rakyat.

Asasnya, Ekonomi MADANI menekankan keperluan untuk merombak struktur ekonomi negara melalui tujuh bidang tumpuan.

Daripada tujuh bidang tumpuan yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI, terdapat dua bidang tumpuan yang mempunyai potensi untuk digembleng secara serempak yakni ‘Peneraju Ekonomi Islam Global’ dan ‘Pertumbuhan Hijau Demi Ketahanan Iklim.’

Menariknya, bagi bidang tumpuan Ekonomi Islam, PMX terlebih dahulu memuji sistem kewangan Islam sebagai peneraju kewangan Islam global dengan menyorot kejayaan peratusan pasaran perbankan Islam daripada jumlah pembiayaan sebanyak 44.5% (RM974.1 bilion) dan peranan pasaran modal Islam sebagai komponen utama daripada saiz pasaran modal Malaysia (64.3% atau RM2,322 bilion).

Kendatipun begitu, PMX menyinggung para pemain industri kewangan Islam untuk berhijrah kepada inisiatif yang lebih mampan dan berkesan.

Justeru, para pemegang taruh dan pemain industri kewangan Islam disarankan untuk menggiatkan usaha menjayakan agenda ketahanan iklim dengan menyelaraskan prinsip kewangan Islam dengan pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Bukan itu sahaja, sinergi di antara kewangan Islam dan inisiatif ketahanan iklim negara juga selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap atau NETR) Fasa 1 yang telah diluncurkan pada hujung Julai lalu.

Dalam al-Quran, Surah Al-Fajr (ayat 11–14) menekankan keperluan untuk menjaga alam sekitar dan bentuk kehidupan yang Allah SWT ciptakan di muka bumi ini yang melalui penggunaan sumber alam yang betul.

Manakala Nabi Muhammad SAW, dalam sebuah hadis dalam Musnad Ahmad menyebut bahawa manusia akan diberi ganjaran atas usaha dalam meningkatkan kehijauan sekali gus menjadikan setiap Muslim wajib menyumbang ke arah usaha tersebut.

Oleh itu, adalah penting bagi setiap orang, termasuk pemain industri kewangan Islam untuk memainkan peranan mereka secara sedar ke arah memastikan kelestarian alam sekitar.

Justeru, penulis berpendapat industri kewangan Islam harus menggandakan daya usaha untuk merealisasikan potensi instrumen kewangan sosial Islam untuk menjayakan agenda ketahanan iklim negara.

Salah satu instrumen kewangan sosial Islam berpotensi untuk menjayakan agenda ketahanan iklim negara ialah wakaf. Secara istilahnya, wakaf bermaksud seseorang yang menyerahkan hak miliknya (harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya) kepada pengguna wakaf tersebut dari mula harta diwakafkan hingga ke akhirnya semata-mata kerana Allah SWT. Ianya tidak boleh diambil kembali atau dimiliki oleh mana-mana individu.

Secara khususnya, dalam konteks ketahanan iklim, instrumen kewangan Islam yang boleh digembleng dan dimanfaatkan ialah wakaf hijau.

Ketika ini, sudah wujud wakaf hijau seperti wakaf hutan, air dan tenaga suria. Bahkan mewakafkan sumber alam untuk manfaat bersama bukanlah perkara baharu dalam tradisi Islam. Sejak zaman Rasulullah SAW, Baginda mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid dan tujuh kebun kurma di Madinah.

Selain itu, antara teladan wakaf terawal dalam sejarah Islam dan kekal sehingga kini (kira-kira 1,400 tahun) ialah Telaga Rummah yang diwakafkan Saidina Uthman bin ‘Affan RA rentetan kesukaran yang dihadapi oleh penduduk Madinah dalam mendapatkan bekalan air bersih. Telaga ini asalnya milik seorang Yahudi dibeli oleh Saidina Uthman bin ‘Affan RA dan diwakafkan bagi kegunaan penduduk Madinah.

Dalam konteks dunia moden, wakaf hijau turut diamalkan banyak negara dengan Türkiye misalnya mewujudkan wakaf hutan, Evkaf Forest meliputi kawasan lebih 107,000 hektar. Untuk konteks, keluasan Evkaf Forest ini hampir menyamai keseluruhan 11 jajahan di dalam negeri Kelantan.

Contoh kontemporari bagi wakaf hijau di negara ini ialah wakaf air yang diwujudkan dan dikelolakan secara kerjasama pintar oleh Yayasan Waqaf Malaysia dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Inisiatif wakaf air ini dilancarkan bagai mengumpul dana wakaf bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air seperti pengepaman sumber air dari perigi, penyelenggaraan dan pembelian alat-alat ganti, dan dana bantuan operasi pencegahan serta pemulihan sistem bekalan air luar bandar.

Umum mengetahui betapa Malaysia semakin terdedah kepada pelbagai cabaran berkaitan iklim, seperti banjir, kejadian cuaca ekstrem dan kenaikan paras laut yang menatijahkan gangguan ekonomi dan sosial yang ketara.

Dengan memperkasakan wakaf hijau, kerajaan atau organisasi tempatan boleh mengumpul dana untuk membina sistem pengurusan air, menaik taraf rangkaian saliran dan membina bangunan tahan banjir di kawasan yang terdedah dengan bencana berkaitan iklim.

Projek-projek ini akan meningkatkan keupayaan rantau ini untuk bertahan dan pulih daripada kejadian banjir, meningkatkan daya tahan iklim negara dan sekali gus memaknakan Islam sebagai rahmat sekalian alam.

……

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya dan Setiausaha Majlis Pendidik Kewangan Islam Antarabangsa (ICIFE).

RELATED ARTICLES
Utama

22 rumah musnah dalam kebakaran di Batu 3 Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya