HomePendapatPengurusan keterjaminan makanan perlu bijak buat perancangan secara menyeluruh

Pengurusan keterjaminan makanan perlu bijak buat perancangan secara menyeluruh

Read Time:7 Minute, 32 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1.         Krisis bekalan dan harga beras yang di hadapi oleh rakyat Malaysia ketika ini adalah bukti terakhir bahawa agenda keterjaminan makanan negara/ national food security telah gagal. Kegagalan ini adalah satu realiti yang perlu di akui dan di terima oleh semua pihak. Malah, lagi cepat semua pihak menerima realiti ini, makin cepat isu tersebut boleh di teliti serta di tangani secara menyeluruh.

2.         Dalam tempoh masa dua tahun (2021 – 2023), Malaysia telah menghadapi krisis yang melibatkan dua makanan utama rakyat Malaysia, iaitu – daging ayam dan beras. Daging ayam merupakan sumber protein utama rakyat Malaysia, di mana data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2021 menunjukkan penggunaan per kapita/ per capita consumption daging ayam adalah 46.1 kg/ seorang setahun, jauh melebihi sumber protein yang lain. Manakala, beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia, di mana penggunaan per kapita/ per capita consumption beras adalah 79 kg/ seorang setahun.

3.         Justeru itu, sebarang isu yang melibatkan kedua-dua makanan utama tersebut, seperti – harga dan bekalan, akan menimbulkan keresahan serta kemarahan rakyat Malaysia.

4.         Pada tahun 2021, Malaysia telah di landa krisis bekalan daging ayam. Ianya berlaku kerana kos pengeluaran daging ayam telah melambung tinggi akibat kenaikan kos makanan/ dedak ayam. Oleh kerana harga jualan daging ayam di kawal oleh Kerajaan Malaysia dengan meletakkan harga siling jualan, maka kenaikan kos pengeluaran berkenaan telah menyebabkan peternak ayam telah mengalami kesukaran, sehinggakan ramai peternak ayam yang terpaksa mengecilkan dan juga menutup operasi. Ini telah menyebabkan bekalan daging ayam di pasaran tempatan berkurangan.

5.         Krisis bekalan daging ayam tersebut berlaku walaupun pengeluaran daging ayam negara senantiasa berada di tahap yang tinggi untuk memenuhi permintaan rakyat Malaysia. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kadar Sara Diri / Self Sufficiency Ratio (SSR) daging ayam negara adalah hampir 100%: 98.0% (2016), 98.1% (2018), 98.2% (2020), 99.9% (2021), 93.3% (2022).

6.         Namun begitu, Malaysia bergantung tinggi kepada import makanan/ dedak ayam, iaitu jagung bijirin dan soya. Ketika ini, hampir 100% makanan/ dedak ayam tersebut di import dari negara-negara seperti – Argentina dan Brazil. Menurut data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), pada tahun 2019, jumlah import jagung bijirin adalah RM 3.26 billion.

7.         Kos dedak ayam merangkumi lebih 65% daripada kos keseluruhan penternakan ayam. Oleh itu, sebarang peningkatan kos dedak ayam akan memberi kesan yang besar.

8.         Maka, penarikan harga kawalan jualan daging ayam yang di umumkan oleh Menteri Kewangan Malaysia pada pembentangan Belanjawan 2024, adalah satu keputusan yang baik untuk industri ayam negara. Ini dapat meredakan kesukaran pengeluar daging ayam yang berdepan dengan kos pengeluaran yang meningkat tinggi. Tindakan ini juga dapat mengurangkan beban subsidi industri ayam yang di tanggung oleh Kerajaan Malaysia, berjumlah RM 3.8 billion sejak Februari 2022.

9.         Walaubagaimanapun, untuk menjamin kestabilan serta kemampanan industri ayam negara secara jangka panjang, Kerajaan Malaysia mesti segera melaksanakan inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan tinggi kepada import makanan ayam.

10.       Manakala, krisis bekalan dan harga beras pula di sebabkan oleh bekalan beras global yang merosot akibat faktor perubahan iklim/ climate change. Dengan itu, harga beras di pasaran global telah meningkat. Oleh kerana Malaysia bergantung tinggi kepada import beras, harga beras import di pasaran tempatan turut meningkat.

Pada masa yang sama, bekalan beras putih tempatan juga telah terjejas kerana tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.

11.       Apa yang membimbangkan ialah bekalan dan harga beras global di jangka akan terus terjejas dengan isu perubahan iklim yang di alami di seluruh dunia, termasuklah Malaysia. Oleh itu, pengeluaran beras global dan juga Malaysia berkemungkinan besar akan merosot dan, krisis bekalan dan harga beras akan berulang, lagi dan lagi.

12.       Pada tahun 2022, Kadar Sara Diri beras negara adalah 62.6%. Ini bermakna Malaysia perlu mengimport sebanyak 37.4% beras untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia. Untuk sekian lama, Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang melibatkan perbelanjaan berbillion ringgit untuk meningkatkan pengeluaran beras dalam negara.

Namun begitu, Kadar Sara Diri beras negara masih tidak dapat di tingkatkan, malah telah menunjukkan trend menurun: 72.3% (2015), 70.3% (2016), 70% (2017), 69% (2018), 65% (2021), 62.6% (2022).

13.       Kegagalan ini sudah pasti akan menyebabkan agenda keterjaminan beras negara terus goyah dan terpaksa terus bergantung kepada pasaran beras global. Menurut laporan Malaysia Trade Statistics Review I 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dalam tempoh 20 tahun (2000 – 2020), jumlah import beras negara telah meningkat pada kadar purata 4.8% setahun.

14.       Di dalam pembentangan Belanjawan 2024, Menteri Kewangan Malaysia telah mengumumkan kenaikan Harga Minimum Terjamin Padi/ Guaranteed Minimum Price (GMP), dari RM 1,200/ tan kepada RM 1,300/ tan, iaitu kenaikan pertama sejak tahun 2014. Dengan purata keluasan sawah padi sebanyak 2 hektar dan hasil padi sebanyak 5 tan/ hektar, kenaikan GMP berkenaan akan menambah sejumlah RM 2,000 setahun kepada pendapatan petani. Namun begitu, petani merasakan kenaikan GMP berkenaan tidak memadai memandangkan kos penanaman padi telah banyak meningkat.

15.       Seterusnya, dengan kenaikan GMP berkenaan, kos pengilang beras juga meningkat kerana mesti membeli padi dari petani pada harga yang lebih tinggi. Ketika kos pengeluaran beras meningkat tinggi, harga siling jualan beras putih tempatan kekal pada kadar RM 2.60/ kg. Tidak seperti penarikan harga kawalan ayam yang telah di umumkan di dalam Belanjawan 2024, nampaknya harga siling jualan beras putih tempatan kekal pada kadar RM 2.60/ kg untuk masa sekarang.

16.       Justeru itu, Kerajaan Malaysia wajar meneliti segera untuk menaikkan harga siling jualan beras putih tempatan agar industri padi dan beras negara dapat menampung peningkatan kos pengeluaran padi dan beras. Ini akan dapat memberikan pulangan yang menguntungkan kepada semua pihak yang terbabit, agar bekalan dan harga beras tempatan stabil.

17.       Baru-baru ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) di laporkan telah mencadangkan agar harga siling beras putih tempatan di naikkan sehingga RM3.50/ kg.

18.       Sebagai contoh. Berdasarkan data DOSM, secara purata, seorang rakyat Malaysia mengambil nasi sebanyak 79 kg setahun. Pada harga siling beras putih tempatan iaitu RM 2.60/ kg, jumlah perbelanjaan membeli beras seorang rakyat Malaysia adalah RM 205.40 setahun (RM 17.12 sebulan).

19.       Sekiranya harga siling beras putih tempatan di naikkan kepada RM 3.50/ kg, jumlah perbelanjaan membeli beras akan menjadi RM 276.50 setahun (RM 23.04 sebulan). Ini adalah kenaikan perbelanjaan sebanyak RM71.10 setahun (RM 5.93 sebulan).

20.       Maka, dengan kenaikan harga siling kepada RM 3.50/ kg, untuk sebuah isi rumah empat (4) orang, jumlah keseluruhan perbelanjaan beras adalah RM 1,106 setahun (RM 92.17 sebulan). Ini merupakan penambahan perbelanjaan sebanyak RM 284.40 setahun (RM 23.70 sebulan). Adakah penambahan perbelanjaan sebanyak RM 23.70 sebulan ini mampu di tanggung oleh rakyat Malaysia?

21.       Mungkin tidak untuk sebahagian besar rakyat Malaysia. Ini kerana menurut Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang di umumkan oleh DOSM, 35% atau 2.26 juta pekerja sektor formal menerima gaji di bawah RM 2,000 sebulan. Oleh itu, penambahan perbelanjaan sebanyak RM 23.70 sebulan tersebut adalah lebih 10% dari gaji bulanan.

22.       Walaubagaimanapun, Kerajaan Malaysia boleh meletakkan harga siling jualan beras putih tempatan pada kadar yang lebih realistik dengan situasi masa kini, memandangkan harga siling tersebut sudah di guna-pakai selama 15 tahun sejak 2008. Untuk mengurangkan kejutan dan bebanan kepada rakyat, Kerajaan Malaysia boleh menaikkan harga siling tersebut secara berkala agar rakyat Malaysia dapat bersedia dan membuat perancangan yang sewajarnya.

23.       Fokus utama ialah untuk menwujudkan situasi ‘win-win’ kepada semua pihak, dengan mengimbangi antara kemampuan rakyat untuk membeli (affordability) dan kemampuan pengeluar untuk membekal (availability).

24.       Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12: 2021 – 2025), Kerajaan Malaysia telah meletakkan sasaran Kadar Sara Diri beras negara sebanyak 75%. Bersandarkan data serta situasi semasa, dan isu-isu yang di hadapi masa kini, sasaran tersebut tidak mungkin akan tercapai.

25.       Maka, Kerajaan Malaysia wajar merangka perancangan baru tanpa perlu menunggu sehingga tamatnya RMK-12. Pengurusan keterjaminan makanan negara, termasuklah ayam dan beras, memerlukan kebijaksanaan, keazaman dan kekuatan untuk membuat perancangan baru yang menyeluruh. Sudah pasti ianya akan mengundang tentangan serta protes dari sesetengah pihak ‘berkepentingan’. Namun isu-isu legasi tidak boleh terus menghantui serta menjejaskan kesejahteraan rakyat.

26.       Accept the failure and move on.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Rakyat tidak ‘bahagia’, pelbagai isu dan cabaran jejas kesejahteraan hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya