HomeIsu tempatanUMS,LKNS Anjur Seminar Solidariti Etnik, memangkin usaha solidariti melalui budaya dan bahasa

UMS,LKNS Anjur Seminar Solidariti Etnik, memangkin usaha solidariti melalui budaya dan bahasa

Read Time:2 Minute, 18 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Seminar Solidariti Etnik 2023 anjuran Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) mampu memangkin usaha kolektif dalam menggalakkan kelangsungan solidariti etnik melalui platform budaya dan bahasa.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, seminar tersebut dianjurkan bersempena dengan Hari Solidariti Insan Antarabangsa dan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang meraikan nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat dalam “indigenous knowledge”.

“Masyarakat etnik itu sejak zaman nenek moyang lagi telah mengajar dan mewariskan nilai-nilai bersatu-padu, tolong-menolong, serta hormat-menghormati kepada generasi anak cucu.

“Nilai-nilai tersebut tersirat dalam bahasa etnik yang digunakan, dalam formasi tarian tradisional, dalam alunan melodi alat muzik tradisi, dan itu pun belum kita sentuh tentang cerita rakyat, pantun dan puisi tradisional yang penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan.

“Tentunya perkongsian para ahli panel seminar akan menceritakan dengan lebih mendalam bagaimana perpaduan, keharmonian, dan nilai-nilai kemanusiaan itu ada dalam tradisi budaya serta bahasa masyarakat etnik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Seminar Solidariti Etnik 2023 sekali gus perayaan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2023 yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew di JBorneo Native Village, Lok Kawi, Penampang di sini semalam.

Teks ucapan Kasim dibacakan oleh wakil beliau, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Asmady Idris.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar serta agensi di bawahnya iaitu LKNS, persatuan etnik dan budaya, pertubuhan masyarakat sivil, institusi akademik, dan agensi negeri yang hadir ke seminar tersebut sekali gus menyatakan sambutan positif kepada objektif seminar.

“Penghargaan juga kepada kesemua ahli panel yang cukup berpengalaman serta arif dalam bidang masing-masing, kerana komitmen yang diberikan untuk bekerjasama dalam penyelidikan dengan universiti tempatan telah memainkan peranan penting dalam menjayakan acara ini.

“Kita amat menyedari bahawa perbezaanlah yang menjadikan kita masyarakat etnik yang unik, dan keunikan ini terletak pada keupayaan masyarakat berbilang etnik untuk bekerjasama dan hidup dalam harmoni, walaupun dengan adanya kepelbagaian,” kata Kasim.

Sementara itu, Christina dalam ucapan perasmiannya berkata, dalam memastikan solidariti memberi kesan atau tidak terhadap kepelbagaian komuniti etnik di Sabah, beberapa aspek perlu diketengahkan.

“Antaranya ialah kebudayaan, ekonomi, dan pelancongan di mana ketiga-tiga ini saling berkait di dalam membentuk “One Nation” terutamanya dalam kalangan masyarakat etnik Sabah.

“Sehubungan itu, dalam kita meraikan kepelbagaian budaya di Sabah, kesedaran orang ramai akan pentingnya kesatuan dalam kepelbagaian perlulah dititikberatkan,” katanya.

Ujar Christina, segala perbincangan pasti akan membawa kepada mencapai matlamat Pembangunan Mampan selaras dengan matlamat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Hadir sama pada majlis tersebut; Pengurus Besar LKNS, Mackey Apison; Pengarah BorIIS UMS, Prof. Madya Dr. Normah Abdul Latip; dan Pengarah Muzium Sabah, Arif Abd. Hamid. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS tuan rumah Bengkel Strategik Majlis Universiti Awam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya